Saturday, 24 August 2013

Ukhwah Fillah



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang







Sahabat yang terbaik,

Bukanlah yang hanya mampu berkata: “Sabarlah, Sabarlah.”

Tetapi adalah sahabat yang akan berkata,

“Apa masalahmu? Mari aku bantu.”




Termenung. Sedikit kebosanan. Ruang mataku diisi dengan sebatang pokok di hadapan Dewan Makan, dan di sekeliling pokok itu terdapat pelajar-pelajar lain yang kelihatan seronok bersembang sesama sendiri. Rasa menyesal pula pergi terlalu awal ke tempat ini. Rupanya hari ini Dewan Makan akan dibuka sedikit lambat. Lebih baik melepak di atas musolla tadi, boleh juga berbaring menghilangkan letih di tengah hari ini.

Sudah seminggu di sekolah baru ini. Aku masih tidak punya kawan rapat. Namun, aku tidak berapa peduli. Aku seakan dapat menghidu bahawa takdirku adalah berseorangan di atas dunia ini. Setakat aku berumur 13 tahun ini, aku memang tidak punya seorang pun teman yang boleh digelar sebagai sahabat karib. Sedang teman sekolah rendah sepanjang 6 tahun pun tiada satu yang rapat denganku, apatah lagi di sekolah asrama yang baru aku jejaki ini.

Mungkin kerana aku berbeza. Mungkin. Aku kasar, tidak mudah berkata lembut, agak lancang, asyik berfikiran jauh, tidak suka bertolak ansur, dan sering hendak menang dalam apa-apa sahaja. Ah, aku tidak peduli. Bukan satu kekurangan buatku. Aku bisa sahaja hidup sendiri.

“Seorang sahaja?”

Cuping telingaku menangkap pertanyaan itu. Membuatkan leherku automatik menoleh. Seorang pelajar berpakaian pengawas, agak tinggi, berwajah cerah, memakai songkok, sedang berdiri di hadapanku dengan roman wajah yang manis. Siapa pula ni?

“Boleh aku duduk sebelah kau?” Dia bertanya. Nyata aku duduk berseorangan di atas penghadang jalan berdekatan Dewan Makan ini. Malas-malas aku mengangguk.

“Kenapa seorang sahaja?”

“Memang tak ada kawan.” Aku menjawab perlahan sambil menekur jalan tar di hadapan.

“Oh, biasalah. Kau baru lagi di sini kan? Nanti insyaAllah, lama-lama ada la sahabat.” Dia berbicara mesra. Seakan telah 10 tahun berkenalan pula. Membuatkan aku mengangkat wajah memandangnya.

“Iya? Aku macam tidak yakin sahaja aku akan mampu mendapat sahabat di sekolah seperti ini.” Aku tahu bicaraku itu berbau sinis. Tetapi aku tidak dapat mengawalnya. Aku memang begini. Aku sudah dapat menghidu perbalahan yang bakal berlaku antara aku dan dia sebentar lagi.

“Em? Kenapa kau berkata begitu?”

“Iyalah, aku lihat senior-seniornya tidaklah sebaik mana. Bercakap gah sahaja, tetapi akhlak tidak setara mana. Tetap membuli junior juga. Suruh orang bagi salam dulu, tetapi mereka tidak pula mengamalkannya. Bila junior tak beri salam, tahu pula hendak marah.” Aku memuncungkan bibir, dan mendengus menunjukkan kebencian aku yang mendalam.

Ya. Apa yang aku luahkan tadi, itulah yang aku perhatikan sepanjang minggu orientasi ini berjalan. Abah kata, sekolah ini lubuk mutiara, tempat tersimpannya 1001 hikmah. Tetapi entahlah, aku tidak nampak apa yang istimewanya sekolah ini apabila melihat senior-seniornya. Dan sekarang, pelajar di sebelah aku ini menyatakan aku akan mendapat sahabat di sini? Heh. Dalam mimpi sahaja mungkin terjadi.

“Cakap tu baik-baiklah sikit.” Dia mula bersuara tegas.

Ahah! Aku sudah katakan yang tiada siapa akan tahan dengan aku. Orang tidak pernah suka dengan mereka yang bercakap tulus. Orang lebih suka pujian palsu.

“Apa yang aku cakap itu benar, bukan?”

“Iya. Tetapi senior-senior bukanlah para malaikat. Apa yang baik daripada mereka kita ambil, apa yang buruk daripada mereka kita tinggal. Kalau kau tidak puas hati dengan mereka, maka jadilah senior yang lebih baik nanti.”

“Hah, hanya alasan kau sahaja untuk menyembunyikan kesalahan senior-senior di sini. Sekolah ini nyata tidak bermakna apa-apa. Sama sahaja seperti sekolah-sekolah lain. Apa yang ‘the best in the world’nya di sini?” Aku merendah-rendahkan laungan semangat yang sering digunakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini.

Wajah pengawas di sebelahku mula merah.

“Kau ni!” Tangannya mula hendak mencapai bahuku. Tetapi aku dengan langkah tempur didikan Abah, pantas menangkap pergelangan tangannya sebelum sempat menyentuh tubuhku.

Matanya membesar. Mataku membalas. Tangannya sengaja kugenggam sekuat hati. Biar dia terasa sakitnya.

“Sudah, berambus.” Aku menghalau. Tangannya kulepaskan perlahan.

“Haih…” Dia menggeleng kepala. Bangun meninggalkanku.

Aku buat tidak peduli.

Pasti dia tidak akan lagi berhubungan denganku.

Aku pasti, dia amat memarahiku. Mungkin dia akan menceritakan kepada rakan-rakannya akan hal aku. Silap hari bulan, dialah musuh aku yang paling ketat di sekolah ini satu hari nanti. Siapa tahu, bukan?

Heh.



******



Aku memandang papan kenyataan di musolla. Biasanya pada papan kenyataan ini ada pelbagai info terkini berkenaan aktiviti sekolah, juga terdapat fakta-fakta agama dan juga akademik. Aku sekadar tertarik pada bahagian aktiviti sekolah. Aku ingin tahu apa program yang akan diadakan oleh sekolah ini untuk minggu hadapan.

Tiba-tiba aku perasan cuping telingaku disentuh. Sentuhan itu pula dapat kurasakan kemesraannya. Pantas aku menoleh ke belakang.

“Si…”…apa… dan yang baki itu hanya terlekat pada kerongkongku.

Dia. Pengawas semalam. Kini sedang berada di hadapanku, dan tersenyum mesra.

“Tengah tengok apa? Apa yang menarik?” Dia terus menepuk bahuku dan mendekati papan kenyataan. Memandang ke arah jadual yang menunjukkan aktiviti sekolah.

Aku sekadar memandangnya. Kemudian tanpa berminat untuk mengungkit perselisihan semalam, aku sekadar menyilang tangan ke dada dan melihat kembali jadual aktiviti sekolah.

Suasana antara kami hanya diisi dengan bunyi pelajar-pelajar lain melalui tempat itu untuk keluar dari musolla, juga beberapa pelajar yang turut melihat papan kenyataan.

“Nama aku Hariz.” Suaranya menggegar gegendang. Perlahan-lahan aku menoleh. Dia sedang tersenyum. Apakah dia ini terlupa bahawa kami baru sahaja berselisihan semalam?

“Nama kau siapa? Aku cuma tahu yang kau ini adik saudara Umair sahaja. Umair itu sahabat karib aku tahu. Tinggal dia tua setahun sahaja daripadaku.”

Ah, kawan Umair? Umair itu abang sepupuku. Tua dua tahun daripadaku. Satu-satunya keluarga yang aku ada di sekolah ini, juga salah satu sebab mengapa Abah amat yakin untuk menghantar aku berjauhan daripada rumah ke mari.

Hariz di sebelahku kekal tersenyum. Seakan hari semalam tidak pernah berlaku. Dan tadi semasa dia menyentuh cuping telingaku, aku dapat merasakan kemesraan yang amat daripadanya. Aneh. Perasaan apakah ini?

“Haikal.” Aku menjawab perlahan.

“Em?” Kening Hariz terangkat sebelah.

“Nama aku Haikal. Haikal Aizuddin.”

Senyuman penuh cahaya terukir di bibirnya. Segera dia menghulurkan tangan. “Muhammad Hariz.” Dan kami berjabat.

Hangat. Bukanlah ini kali pertama aku berjabat tangan dengan manusia. Tetapi, entah, mengapa aku rasakan jabatan tangan kali ini terasa seperti sesuatu yang tidak pernah kurasai sebelum ini. Dan apakah rasa senang yang terwujud di dalam hatiku ini?

“Makan jom?” Hariz terus memaut bahuku, dan belum sempat aku menjawab, tubuhku telah didorongnya ke rak kasut.

Itulah dia permulaannya.



***************

Masa pantas berlalu. Sedar tidak sedar, Hariz sudah tingkatan lima dan aku telah memasuki tingkatan empat. Hari-hari nyata berlalu tanpa menunggu langkahan insan. Sama ada manusia itu yang memecut untuk menewaskan waktu, atau manusia itu akan ditinggalkan.

Persahabatan aku dan Hariz juga bertambah erat. Kami ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan. Siapa yang percaya bahawa awal pertemuan kami adalah pergaduhan. Tetapi entah mengapa seperti aku sahaja yang mengingati perkara itu. Hariz, dia langsung tidak pernah menimbulkan kenangan yang satu itu. Mungkin sahaja dia memang tidak pernah ambil peduli akan perkara itu? Jika benar, nyata dia adalah manusia yang ajaib.

Empat tahun yang telah berlalu, diisi oleh dengan keeratan kami. Terlalu banyak kenangan yang dikongsi bersama. Terlalu banyak perkara yang dilalui berdua. Kemasukan aku sebagai ahli Badan Pengawas Sekolah tambah mengeratkan hubungan kami, apatah lagi apabila aku diletakkan pada Biro yang sama dengan Hariz. Lebih menakjubkan, sepanjang aku menjadi pengawas, kami tidak pernah ditukarkan ke biro lain. Kerja-kerja bersama di dalam pengawas, kursus-kursus kepimpinan, program-program, semuanya menjadikan hubungan kami bertambah erat.

Kami turut bersama-sama merancang pelbagai program sampingan buat diri kami sendiri, seperti berpuasa sunat bersama-sama dan tidur di musolla untuk qiamullail bersama-sama.

Nyata empat tahun yang telah berlalu, adalah empat tahun yang indah. Aku seakan dikurniakan seorang abang oleh Allah SWT. Dan kehadiran Hariz lebih dari sekadar memenuhi kekosongan ruang Abang itu, bahkan dia jugalah qudwah kepadaku. Banyak mengajarku akan Islam yang sebenar daripada akhlaknya, mendidik aku dengan kesungguhannya di dalam kerja, dan sentiasa di sisi apabila tiada orang lain bersama.

Percaya atau tidak, yang mampu bertahan dengan kelancangan dan kekasaranku, hanya Hariz seorang. Aku masih ingat ketika aku mengamuk dan mengoyakkan komik mereka di pejabat asrama, mengakibatkan beberapa rakanku di dalam pengawas tidak senang dengan kemarahanku ketika itu, hanya Hariz sahaja yang pergi kepadaku dan bertanya apa yang sebenarnya telah berlaku.

“Kal.” Suara Hariz menyapa. Dia yang baru sahaja menyalin baju tidur, mampir ke katilku dan duduk.

“Apa?” Aku menggerakkan kepala sedikit.

“Ada masalah apa?”

Aku tertawa. “Kenapa? Muka aku ni muka ada masalah kah?” Tiba-tiba sahaja tanya ada masalah.

“Tak adalah. Semalam, bila balik daripada slot terakhir, kau terus sahaja tidur. Tak sembang-sembang macam biasa pun.” Hariz merujuk kepada Program Muhasabah Islami yang dijalankan oleh seorang motivator jemputan sekolah semalam.

Mata aku membesar. Hariz berkerut dahi memandangku. Kemudian tawaku meletus.

“Hei, aku serius ni.” Dia menolak bahuku.

“Entahlah. Aku tak ada sebab pun. Mungkin letih kut. Tak fikir apa, balik terus lelapkan mata.” Aku menggeleng. Tawaku masih tersisa.

“Serius ni?” Hariz seperti tidak puas hati.

“Ya Allah, abang aku seorang ni, sungguh.” Aku mengangkat tangan, gaya bersumpah. Memang sungguh aku tidak ada apa-apa. Bahkan aku sekarang ini masih tergeletek dengan Hariz yang amat menjaga aku hinggakan perubahan sekecil itu pun disangkanya aku punya masalah. Hariz, Hariz. Aku menggeleng lagi.

Hariz menghela nafas dan tersenyum. “Baguslah macam itu.” Dan senyuman Hariz itu tidak akan mampu aku cari di mana-mana lagi di dunia ini. Aku pasti. Membuatkan aku tersenyum sama.

“Tak lama lagi dah nak habis sekolah dah.”

“Em, kau pun nak ambil SPM. Studi lebih sikit, bro.” Aku menumbuk lembut bahunya.

“Tak risaulah studi. InsyaAllah, aku boleh.”

“Mestilah, kalau tak penatlah aku doa untuk kau hari-hari.”

Senyuman Hariz terkoyak lebih lebar. Mungkin terkenangkan sesuatu apabila aku nyatakan perihal doa. Kami berdua sebenarnya punya kegemaran yang aneh apabila berdoa. Kami jarang berdoa pada masa yang sama. Apabila aku yang berdoa dahulu, maka Hariz akan merapatiku dan berbisik kepada telingaku:

“Doakan aku biar cemerlang dalam pelajaran, dimurahkan rezeki, dikekalkan keimanan, dan dapat isteri yang solehah.”

Dan kemudian apabila Hariz pula yang berdoa, aku akan merapatinya dan berbisik ke telinganya, menyatakan perkara yang sama.

Hampir setiap kali, jika punya peluang, itulah yang akan kami lakukan. Mungkin itulah yang menjengah ingatannya, menyebabkan dia tertawa.

“Tahun depan aku dah tak ada. Kau ok ke?”

“Ha? Haha.” Keningku terangkat sebentar, sebelum tawaku yang telah terhenti tadi bersambung semula.

“Come on la Hariz. Ingat aku ini apa? Pelajar darjah satu?”

“Yalah, manalah tahu kan. First time kut kita berpisah ni.”

“Banyak kali dah. Entah berapa kali dah cuti kita ni, bukan balik rumah yang sama pun.” Aku menjelir lidah sedikit ke arahnya. Berseloroh. Hariz tertawa kecil.

“Kau tahu apa maksud aku kan?”

Tawaku mula surut. Perlahan-lahan aku mengangguk. “InsyaAllah, aku survive. Come on la Bang, aku dah 16 tahun. Tahun depan 17 tahun.”

“Baguslah.” Hariz memandang hadapan. Wajahnya memaparkan kelegaan. Dan entah mengapa, aku amat tersentuh. Hariz nyata amat mengambil berat akanku. Entah di mana lagi hendak aku cari sahabat seperti dia? Mungkin tidak akan aku jumpa di mana-mana.

“Hei, janganlah sedih sangat. InsyaAllah, Allah akan susun yang terbaik punya untuk kita. Aku pasti yang itu. Kalau ada apa-apa, insyaAllah aku ada untuk kau.” Aku menepuk belakang Hariz.

“InsyaAllah, aku ada untuk kau juga.” Dia menepuk belakangku pula.

Kami berdua tersenyum bersama.

“Bila-bila masa, di mana jua.” Kalam itu, sama-sama kami ucapkan, serentak. Membuatkan kami berdua kemudiannya sedikit tersentak. Kemudian tertawa bersama. Tidak menyangka kami akan menyatakan perkara yang sama, bersama-sama.

Kami diam sebentar. Mata Hariz menentang mataku.

“Uhibbukafillah.” Sekali lagi serentak.

Dan tawa mengisi malam kami itu.



*************



Nyata, susunan Allah itu amat ajaib. Kita akan lebih merasakan ajaib, apabila susunan Allah itu menepati hajat hati kecil kita, namun kita tidak pernah menukilkannya langsung di dalam bentuk lafaz permintaan. Sekurang-kurangnya, itulah yang aku rasai apabila mengetahui Hariz memasuki universiti yang hampir dengan rumahku.

Menjerit Hariz ketika memberitahu bahawa dia mendapat universiti itu. Aku sendiri hilang bicara apabila mengetahuinya. Sekadar mampu menyatakan bahawa aku amat gembira juga. Namun aku tidaklah terlalu lama mampu merasai keindahan kewujudan Hariz di perkarangan rumahku, memandangkan aku menyambung pengajianku semula ke tingkatan enam di sekolah menengahku dahulu.

Tetapi memandangkan aku berada di dalam tingkatan enam, maka aku punya lebih kelonggaran berbanding pelajar biasa. Telefon bimbit contohnya, bukanlah satu benda yang haram untuk kubawa dan guna pakai. Maka hubungan dengan Hariz kekal erat dengan kemudahan teknologi yang satu itu.

“Assalamu’alaikum.” Suaranya serak kedengaran.

Hatiku bergetar spontan. Kenapa ni? “Waalaikumussalam. Bang? Sihat tak tu?” Abang atau Bang, sudah menjadi panggilan biasaku kepadanya. Walaupun aku biasa juga memanggilnya Hariz.

“Aku tengah down ni Kal.”

“Eh? Kenapa ni?”

Dan aku duduk bersila di atas bangku kelas mendengar luahannya. Rupanya pensyarahnya telah memberikan markah yang teramat rendah kepadanya, walaupun dia amat yakin dia telah melakukan yang terbaik. Bahkan presentationnya adalah yang mendapat pujian semua orang di dalam kuliahnya. Dia merasakan bahawa pensyarahnya itu telah berlaku tidak adil kepadanya.

Aku yang tidak menjejak ke universiti kerana memilih untuk menyambung tingkatan enam ini, tidak mampu membayangkan apa yang Hariz lalui, namun dapat juga memahami perasaannya yang diperlakukan demikian.

“Sabar bang, sabar.”

“Aku tengah sabar la ni.” Kedengaran esak di ganggang. Hatiku pula menjadi rawan.

“Allah nak uji ni. InsyaAllah, ada la tu kebaikan lepas ini.” Aku cuba memujuk.

“Aku faham yang itu. Tapi sedihlah.” Aku seakan dapat melihat air matanya sedang berjejesan walaupun dia tidak berada di hadapanku. Ya Allah, pedihnya.

“Kau rehatlah dulu ya? Dah tengah malam dah pun ni.” Aku memanjangkan leher menjengah luar, gelap. Dataran sekolah juga lengang tanpa ada pelajar yang berjalan di atasnya. Mungkin semua sudah pulang ke asrama dan bertemankan selimut masing-masing.

“Em,” Suara Hariz lemah. Perit aku mendengarnya.

“Hariz, insyaAllah ada hikmahnya semua ini.” Sekali lagi aku berpesan. Entah, aku tidak ada kalam yang lebih baik. Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Sebab itu sahaja yang aku percaya. Allah ini, dia tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya.

“Dan kau kalau apa-apa, jangan tak call aku. Call aku. Ok? Ok?” Aku bertegas mengingatkan.

“Em, insyaAllah.”

Senyap sebentar. Hening malam mengisi suasana. Aku sendiri mati bicara. Kasihan Hariz.

“Hei,” Tiba-tiba suara serak Hariz kedengaran.

“Apa?”

“Terima kasih.”

“Ala, aku bukan tolong apa pun. Tolong dengar sahaja. Apa la yang aku bantu kau?” Aku menghela nafas. Rasa bersalah pula tidak mampu membantu apa-apa. Sedangkan aku tahu sahaja, yang aku memang tak mampu membantunya apa-apa.

“Tak, kau dengar aku punya luahan ini pun, bantuan sebenarnya. Terima kasih Haikal, sebab ada di sisi aku.”

“Kau tahu tak Hariz, kalaulah terjadi satu masa nanti, seluruh dunia telah tinggalkan kau, sampai nanti mungkin isteri dengan anak-anak pun tinggalkan kau, kau agak-agak siapa manusia yang akan kekal berada di sisi kau masa itu?”

Hening malam kembali mengisi buat seketika.

“Aku.” Aku menepuk dada dengan yakin sekali. “Aku ada di sisi kau masa itu.”

Dan aku kedengaran esak dari corong. Aku seakan melihat air matanya menitis jatuh. Tetapi kali ini aku dapat merasakan dia sedang tersenyum.

“Take care bro. Uhibbukafillah.”

“Uhibbukafillah. Thanks.”

Dan entah mengapa, dengan merasakan bahawa Hariz telah tersenyum itu, hatiku yang tadinya gundah menjadi tenang semula.

Ya Allah, kasihanilah sahabatku itu sesungguhnya aku mengasihaninya. Sayangilah sahabatku itu sesungguhnya aku menyayanginya. Dan aku amat tahu kasihMu lebih besar melebihi kasihku, dan sayangMu lebih luas berbanding sayangku, maka kepada Kau sahajalah aku meminta kasih dan sayang untuknya itu.

Aku meraup wajah. Hariz itu ibarat nyawaku.

Mustahil dia akan kubiarkan kesedihan begitu.



**********



Tamat tingkatan enam, aku berjaya menyambung pengajian ke luar negara. Timur Tengah. Mengambil pengajian agama. Di sini, kehidupan aku berubah memandangkan aku banyak diharapkan oleh persatuan melayu untuk melakukan itu dan ini. Maka hubungan aku dan Hariz sedikit terganggu dari segi kekerapan komunikasi. Kami sudah jarang berhubung. Aku pula jarang muncul di internet. Boleh dikira dengan sebelah jari sahaja bilangan komunikasi kami pada tahun pertama aku di Timur Tengah.

Namun cinta aku terhadap sahabatku nan seorang itu kekal membara di hatiku. Kadangkala aku memaki kesibukanku kerana tidak mampu meluang banyak masa dengannya. Entah berapa kali aku dapati offline message terisi dengan mesej bertanya khabar daripadanya. Namun aku tidak sempat melayannya. Sungguh aku rasa bersalah.

Kini sudah masuk tahun yang ketiga. Pelajaranku semakin sukar. Tinggal dua semester lagi, dan aku akan menamatkan pengajianku di sini. Kerja-kerja kursus bertimbun di kanan dan kiriku. Belum dikira urusan persatuan lagi yang masih berada di sekelilingku. Aku hampir sahaja tidak punya masa buat diriku sendiri, apatah lagi untuk orang lain.

Dan pada saat penuh kritikal inilah, Allah menguji aku.

Duit Persatuan hilang di tangan aku. Jumlahnya hampir menjangkau RM10,000 ringgit. Kewarasanku hampir sahaja terpadam apabila mendapati wang yang sepatutnya aku hendak masukkan ke dalam bank itu hilang daripada almariku.

Seluruh pelajar melayu di sini gempar mendengar berita itu.

Serta merta aku dicemuh dan menjadi bahan makian ramai. Tidak pandai menjaga duit, lalai, cuai, semuanya dihumbankan kepadaku. Sedangkan aku telah berusaha menjaganya sepenuh jiwa dan ragaku. Aku sendiri tidak pasti bagaimana duit itu boleh lesap begitu sahaja. Hendak menuduh ahli rumahku yang lain, aku tidak sampai hati memandangkan mereka selama ini baik-baik sahaja denganku.

Selepas beberapa hari, tidak cukup dengan segala makian tadi, aku dituduh pula ingin mencuri wang tadi. Kepimpinan persatuan turut mempunyai syak wasangka yang sama. Aku pula memang tidak punya bukti kukuh untuk menafikan perkara itu. Tinggal pertahanan diriku setakat ini adalah, jika benar aku yang mencuri wang tersebut, pastinya aku akan membelanjakannya, dan apa yang aku belanjakan itulah yang patut menjadi bukti. Namun, setakat ini, perbelanjaanku adalah seperti kebiasaanku selama ini. Maka nyata bukan akulah pencurinya.

Tetapi masyarakat melayu di tempat aku belajar tidak mampu menerima alasan itu. Kata mereka, zaman sekarang sudah maju. Sekiranya aku simpan wang itu ke dalam bank, maka cukup beberapa waktu aku akan mendapat faedahnya yang lumayan. Aku menafikannya, dengan menunjukkan kad bank aku dan menyuruh mereka memeriksanya sendiri. Tetapi ada pula suara yang menyatakan bahawa, mana mungkin aku hendak menunjukkan kad bank yang wujud di dalamnya duit persatuan itu.

Aku mati akal. Tidak mampu mempertahankan diri. Kini, laungan untuk menggantikan duit pula kedengaran. Boleh dikatakan hampir kesemua pelajar melayu yang wujud di sini membenciku sekarang, menyebabkan tiada yang menyokongku. Jika ada yang kasihan pun, tiada yang mampu bangkit membantuku. Takut nanti ditelan badai kemarahan orang ramai, dan lemas di dalam lautan kebencian mereka.

Dunia seakan menjadi sempit.

Sangat-sangat sempit.

RM10,000, aku mana ada duit sebanyak itu?

Berhari-hari aku tenggelam di dalam kesedihan. Beberapa hari itu jugalah aku tidak pergi ke kelas. Aku tidak dapat menumpukan perhatian untuk menghabiskan kerja-kerja aku yang bertimbun, juga aku tidak mampu hendak berjalan di tengah orang ramai yang akan menghina dan mencercaku.

Aku sekadar berbaring, termanggu di atas katil mengenangkan nasib diri, ditemani air mata yang berjejesan setiap masa. Sejadahku habis basah di tempat sujudku, begitu juga bantal.

“Kalau aku ini aku yang dahulu, habis mereka semua itu. Dan sedih ini tidak akan hadir.” Aku mengenang kembali diriku yang amat keras di sekolah menengah dahulu. Sekarang, entah mengapa, cercaan dan makian terasa amat menusuk kalbu. Sedang dahulu aku kebal sahaja dengan semua itu. Aku benar-benar rasa bersalah dengan kehilangan wang itu, tetapi bukanlah aku tidak menjaganya dengan baik. Laci telah dikunci dengan baik, bahkan aku telah bercadang untuk pergi ke bank awal pagi sebelum aku perasan duit itu telah hilang.

“Ya Allah, apakah ini?” Aku sakit kepala. Tertekan.

Ketika inilah, telefon bimbitku berbunyi. Siapa? Orang persatuan yang nak minta aku ganti duitkah? Perlahan-lahan telefon bimbit itu aku capai. Kulihat nama yang tertera.

Hariz.

Keningku terangkat sebelah. Guna telefon? Tak mahalkah telefon dari Malaysia ke mari?

Segera aku membuka lipatan telefon bimbitku.

“Assalamu’alaikum, Hariz?”

“Waalaikumussalam. Kal. Apa khabar?”

“Sihat. Kau?” Aku menjawab datar. Cuba menyembunyikan masalah.

“Aku sihat sahaja.”

“Kenapa telefon ni? Tak mahal? Kenapa tak guna internet sahaja?” Aku bertanya.

“Aha, aku ni sebenarnya dengar kau ada masalah.”

Aku diam. Berita itu tersebar sampai ke Malaysia kah? Hem. Zaman tanpa sempadanlah katakan.

“Tak nak kongsi?” Hariz bertanya.

“Seganlah, kongsi masalah. Aku ni nak kongsi benda gembira sahaja dengan kau.” Aku cuba mengelak.

“Haikal, aku ni, kau buat lawak bodoh pun aku suka nak dengar. Apatah lagi benda sedih yang memerlukan seseorang untuk berada di sisi kau, Haikal. Mesti aku lagi patut dengar kan?” Aku seakan mampu melihat senyumannya di balik sana. Membuatkan aku tersengih. Dan perlahan-lahan sengihanku pudar, dan tubuhku menggeletar. Aku menangis, hingga bahuku terenjut-enjut.

Aku ceritakan segalanya kepada Hariz. Apa yang berlaku kepadaku, dan bagaimana masyarakat melayu di sini melayanku.

“Tiada siapa percaya dengan aku, Hariz. Semua orang tinggalkan aku. Aku tension. Aku dah la tengah bertimbun dengan kerja kursus. Periksa pun dah dekat.” Aku menceritakan semuanya.

“Hem, bertenang, bertenang.” Hariz menenangkan aku.

“Aku tengah usaha la ni.” Aku menghela nafas.

“Ha, sekarang, apa kata kau pergi ke bank.”

“Eh?”

“Sekarang, pergi ke bank. Keluarkan duit untuk bayar balik wang yang hilang itu.”

“Aku mana ada duit Hariz. Kalau ada duit, dah lama aku bayar balik. 10,000 ringgit bang, bukan 10,000 rupiah.”

“Iyalah, tengoklah dulu dalam bank. Mana tahu ada RM10,000.” Hariz tetap bertegas dengan suruhannya. Aku dapat merasakan kewujudan senyuman dalam bicaranya.

Aku segera bersiap dan turun dari bangunan rumah sewaku, kemudian bergerak pantas menuju ke bank yang berdekatan. Aku periksa baki terkini akaun simpananku. Mataku membesar.

RM11,492. Angka itu menjengah tubir mataku.

Segera aku telefon semula Hariz.

“Mana kau tahu…”

“Aha, aku baru sahaja doa kepada Allah, agar turunkan wang daripada langit untuk kau.” Hariz tertawa.

“Banyaklah kau punya daripada langit. Ini duit kau ya Hariz?”

Hariz terus tertawa. “Em, itu duit aku. Kau guna dahulu. Aku sebenarnya simpan duit itu untuk kahwin. Tetapi dah kau ada masalah ini. Aku dahulukannya kepada kau.”

Mataku kembali berair. Hariz, Hariz.

“Kenapa sampai macam ini Hariz? Mana mungkin aku boleh terima ini? Aku nak bayar semula kepada kau bagaimana?”

“Kalau kau tak dapat bayar semula, maka tak perlu bayar. Aku tak kata pun kau kena bayar semula, bukan?”

Aku hampir sahaja ternganga mendengarnya. “Hariz!”

“Terimalah. Ambil lah. Kita boleh kumpul duit lagi. Dan belum tentu kau tidak jumpa semula RM10,000 kau yang hilang itu. Percayalah, apa yang berlaku ada hikmahnya daripada Allah SWT. Kau tidak ingat apa yang kau pesan semasa aku kejatuhan dahulu?”

Aku terkesima sebentar. Teringat.

“Ada hikmahnya semua ini. Dan aku dah nampak salah satu hikmahnya sekarang.”

“Apa dia?” Aku kehairanan.

“Allah nak ukhuwwah aku dengan kau, meningkat satu tahap lagi.” Sekali lagi, aku seakan dapat meihat Hariz tersenyum di sebelah sana.

Air mataku mengalir deras. Terenjut-enjut bahuku di hadapan mesin pengeluar wang. Aku perasan keadaanku itu menjemput pandangan aneh daripada beberapa orang arab yang berada di sekelilingku.

“Hei Haikal.”

“Ya?”

“Kalaulah nanti terjadi satu saat, seluruh dunia hilang kepercayaan dengan kau, bahkan memerangi kau, hatta mungkin waktu itu keluarga kau turut bertindak dengan tindakan yang sama, kau tahukah siapa manusia yang akan berada di sisi kau?”

Aku tergamam. Dadaku bergetar kuat. Aku tahu jawapannya.

“Aku. Aku ada di sisi kau pada saat itu.”

Dan air mataku mengalir, namun pada bibirku terukir senyuman.

Ya Allah. Apakah hadiah yang lebih besar daripada nikmat iman dan Islam yang Kau berikan kepadaku, selain daripada Hariz ini?

Tiada, Ya Allah, tiada.

Saat-saat aku hampir sahaja berputus asa dengan Kau, dialah yang kembali menyambungnya. Siapalah sahabat yang lebih baik, daripada sahabat yang apabila bersamanya, dia mengingatkan aku kepadaMu, Ya Allah?

MasyaAllah. MasyaAllah.

“Haikal,”

“Em?”

“Take care. Uhibbukafillah.”

“Thanks. Uhibbukafillah.”

Dan hidupku bercahaya semula, serta tidak pernah lagi kegelapan muncul dalam kehidupanku selepas hari itu berlalu.



**********



Bunyi ombak memukul pantai membawaku kembali ke alam realiti. Rupanya aku terimbas kembali segala memori dahulu. Dari perkenalan pertama, hinggalah kepada apa yang menjadikan Hariz itu tidak dapat ditandingi hatta oleh nyawaku sendiri. Aku tersenyum, menggeleng sendiri.

“Weh, isteri kau kat belakang tu.” Bahuku ditolak lembut.

Aku cuba mengimbang semula tubuhku. Memandang manusia yang menolakku itu sebentar, sebelum memandang ke belakang. Isteriku sedang melayan anakku, sambil bersembang mesra dengan seorang lagi perempuan yang turut bersama anaknya.

Kemudian aku memandang manusia di sebelahku itu semula.

“Kenapa tiba-tiba bagitahu yang isteri aku ada di belakang?”

“Dah kau tersenyum sorang-sorang. Teringat siapa lagi kalau bukan si buah hati?” Dia mengangkat kening dua kali. Gaya nakal.

Aku tertawa. “Aku sebenarnya teringat kaulah, Hariz.”

Tawa Hariz meletus sama. “Senget ke apa ha? Aku ada kat sebelah kau je ni.”

Aku menggeleng. “Banyak sudah kita lalui ya?”

“InsyaAllah, banyak lagi kita akan lalui.”

“Harap Allah membenarkan kau terus berada di sisiku sahabat.” Aku memandang Hariz.

Dia tersenyum. “Semoga Allah juga membenarkan kau untuk terus berada di sisiku, sahabat. Sampai ke syurga.”

Aku turut mengukir senyuman.

“Sampai ke syurga sana.”

Kami sama-sama melepaskan pandangan ke horizon.

Hati lapang. Jiwa tenang.

“Hei,” Tiba-tiba kami serentak bersuara.

Tertawa sebentar kami dibuatnya. “Macam mana boleh sama pula ni.” Serentak lagi. Kami berpandangan sebentar, tertawa lagi.

“Uhibbukafillah.” Dan sekali lagi, serentak juga.

Dan tawa mengisi ruang antara kami berdua.

Ya Allah, terima kasih atas ukhuwwah ini.

Moga kekal ke syurgaMu nanti.



- Simfoni Cinta-



SYUKRAN FOR READING

AZAB BAGI KAUM WANITA DI NERAKA


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



(Tolong ingatkan kepada semua kaum HAWA yang Anda kenal)

Saudara dan saudari kaum Muslimin dan Muslimat, renungan khususnya untuk para wanita.(HAWA) Sayidina Ali R.A menceritakan suatu ketika melihat Rasulullah saw menangis mankala ia datang bersama Fatimah. Lalu keduanya bertanya mengapa Rasulullah saw, mengapa beliau menangis.
Beliau menjawab, "Pada malam aku di
isra'kan, aku melihat perempuan-perempuan yang sedang disiksa dengan berbagai siksaan. Itulah sebabnya mengapa aku menangis. Karena, menyaksikan mereka yang sangat berat dan mengerikan siksanya." Putri Rasulullah saw kemudian menanyakan apa yang dilihat ayahandanya.

Rasulullah saw menjawab "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih. 

Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya.

Aku lihat perempuan tergantung kedua kakinya dengan terikat tangannya sampai ke ubun-ubunnya, diulurkan ular dan kala jengking.

Dan aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Serta aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. 

Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, dimasukkan ke dalam peti yang dibuat dari api neraka, otaknya keluar dari lubang hidung, badannya berbau busuk karena penyakit sopak dan kusta.

Aku lihat perempuan yang badannya seperti himar, beribu-ribu kesengsaraan dihadapinya.

Aku lihat perempuan yang rupanya seperti (maaf) anj**g, sedangkan api masuk melalui mulut dan keluar dari duburnya sementara malikat memukulnya dengan pentung dari api neraka,"

Fatimah Az-Zahra kemudian menanyakan, "Mengapa mereka disiksa seperti itu?"

*Rasulullah menjawab, "Wahai putriku, Adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak menutup rambutnya sehingga terlihat oleh laki-laki yang bukan muhrimnya.

Perempuan yang digantung (maaf) p*y*d*r* adalah isteri yang 'mengotori' tempat tidurnya.

Perempuan yang tergantung kedua kakinya ialah perempuan yang tidak taat kepada suaminya, ia keluar rumah tanpa izin suaminya, dan
perempuan yang tidak mau mandi suci dari haid dan nifas.

Perempuan yang memakan badannya sendiri ialah karena ia berhias untuk lelaki yang bukan muhrimnya dan suka mengumpat orang lain.

Perempuan yang memotong sendiri dengan gunting api neraka karena ia memperkenalkan dirinya kepada orang yang kepada orang lain bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat laki-laki yang bukan muhrimnya.

Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya diulurkan ular dan kalajengking padanya karena dia meninggalkan solat dan tidak mahu mandi junub.
Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah tukang umpat dan pendusta. Perempuan yang menyerupai anjingialah perempuan yang suka memfitnah dan membenci suami."

Mendengar itu, Sayidina Ali dan Fatimah Az-Zahra pun turut menangis. Dan inilah peringatan kepada kaum perempuan.

Artikel : Facebook



SYUKRAN FOR READING

Tuesday, 20 August 2013

Kita dan Pemakaian Kita



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Pakaian adalah aset penting dalam sebuah kehidupan malah dalam Islam sendiri sebagai peraturan utama iaitu menutup aurat seperti mana telah berlakunya kepadaAdam dan Hawa as di mana telah tertutupnya aurat bagi mereka semasa Allah SWT menciptakan manusia pertama hingga mereka sendiri tidak menyedarinya. Lihat sahaja perlakuan syaitan yang bersungguhan dan berusaha dengan tipu dayanya untuk mempengaruhi Adam dan Hawa hingga terdedah aurat mereka dan mereka menyadari keterbukaannya, sehingga mereka berusaha menutupinya dengan daun-daun surga. Usaha tersebut menunjukkan adanya naluri pada diri manusia sejak awal kejadiannya bahwa aurat harus ditutup dengan cara berpakaian. Seperti penjelasan tentang pengertian tsaub, manusia pada mulanya tertutup auratnya. Ayat yang menguraikan hal ini menggunakan istilah…

"untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya"
(QS Al-A'raf [7]: 20).


Dengan itu mengikut cara hidup Islam berpakaian adalah satu tuntutan wajib bagi menutup aurat samada muslim atau muslimat. Peraturan Islam menggalakkan hamba-Nya memakai pakaian yang menampakkan ciri-ciri Islam iaitu tidak menyerupai cara berpakaian sesuatu bangsa atau jantina yang lain.

" ….harta ( mereka yang ada dalam kekuasaanmu ) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan . Berilah mereka belanja dan pakaian ( dari hasil harta itu ) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik." (An-Nisaa': 5 )


Warna-warna dan fesyen tidak pula dibatasi selagi ia menjamin kesejahteraan umatnya dan agama. Walau bagaimana pun pakaian yang terlebih baik adalah pakaian yang mengikuti sunnah baginda SAW iaitu warna putih bagi lelaki dan perempuan warna-warna yang tidak memberi perhatian iaitu warna-warna gelap atau suram. Contoh warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW.


Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih)." (an-Nasa’ie dan al-Hakim)


Menjadi persoalan di sini adakah kita sedar bahawa setiap penampilan kita boleh mempengaruhi cara pandangan kita, orang sekitar dan mempengaruhi cara hidup kita dan mereka. Lihatlah sekarang golongan muda-mudi utamanya yang beragama Islam telah berjaya mengubah cara hidup mereka daripada segi berpakaian ke arah pakaian yang membawa kemurkaan-Nya seperti tidak sopan, ketat, tidak menutup aurat dan menyerupai jenis yang berlawanan dengan mereka sendiri.


Hal ini terjadi kerana terpengaruh dengan budaya, bangsa dan agama lain. Biasanya cara berpakaian boleh juga mengubah sikap seseorang individu daripada segi percakapan dan tingkahlaku kita sendiri dan begitu juga kepada orang lain. Pada penelitian, jika kita berpakaian tidak sopan orang kurang menghormati kita daripada segi percakapan dan tingkahlaku dan amat berbeza dengan orang yang berpakaian sopan dan menepati cara pemakaian Islam.


Jadi pakaian juga adalah salah satu elemen dakwah yang berkesan kepada orang sekeliling. Pakaian yang bersih, kemas dan menarik boleh menambat hati seseorang untuk terpikat dengan cara hidup kita, mempengaruhi cara percakapan kita dan memberi pandangan baik kepada si pemakai. Memang tepat sekali dengan pepatah mengatakan pakaian melambangkan satu identiti seseorang. Jika pemakaian kita kotor dan selekeh mungkin pandangan orang bahawa kita adalah seorang yang pengotor serta tidak mementingkan penampilan. Ini akan menghasilkan sesuatu yang negatif yang mana tidak akan dicontohi atau tidak membawa kesan yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang individu mahu pun dalam agama itu sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud; “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”






Memang ramai mengatakan pakaian tidak melambangkan keimanan seseorang tetapi harus diingatkan bahawa melalui pakaian boleh juga menambahkan keimanan dalam diri kita. Sebagai contoh jika kita mengikuti sunnah baginda SAW, kita akan merasa lebih dekat dan cinta kepada baginda SAW dan lebih mengingati akan tingkah laku supaya menuruti apa yang diperintahkan-Nya. Jika dibandingkan sebaliknya iaitu makin lama makin hilang rasa malu dan makin melampaui batas cara pemakaiannya. Ini menunjukkan kesan bahawa makin tipisnya iman seseorang hasil daripada pilihan pakaian mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'araf, ayat 26 yang bermaksud;


“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan- bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Apa salahnya kita sebagai umat baginda SAW mempamerkan cara berpakaian yang beridentitikan Islam itu sendiri. Kita sepatutnya perkukuh, perteguh, berbangga dan memartabatkan pakaian Islam itu sendiri agar kita umat Islam turut mempunyai jati diri yang kuat. Sebagaimana yang diperhatikan kenapa perlu mengikuti cara pakaian bukan identiti Islam itu sendiri?, kenapa kita sendiri menghindari daripada memakai pakaian yang dituntut Islam?, kenapa kita juga yang merendah-rendahkan pakaian agama kita sendiri dan kenapa kita yang Islam ini turut memperagakan pakaian yang bukan daripada identiti kita?. Nampakkah di mana maruah kita sebagai seorang Muslim?. Bagaikan tiada kekuatan pada diri untuk mengelak dan mencegah sebaliknya hanya menerima dan terus menerima tanpa memikirkan maruah agama kita sendiri. Siapa lagi yang akan mengangkat pemakaian cara Islam jika bukan kita sendiri yang mesti melakukannya.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa', ayat 85 yang bermaksud; 
“Sesiapa yang memberikan syafaat (tauladan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan tauladan yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas semua perkara.”


Astahgfirullah Al-Azim inikah umat Islam yang perlu dicontohi?, inikah umat Islam yang perlu dibangga-banggakan?, inikah umat Islam yang perlu dijulang oleh penganut lain?. Jika inilah sikap umat Islam, dengan itu tiada apa yang perlu dicontohi, dibanggakan dan perlu dijulang kerana umat Islam itu sendiri mengotori, mencabul, merendahkan dan mencalarkan cara pemakaian umat Islam itu sendiri.

Sesungguhnya, cara pemakaian Islam adalah yang terbaik kerana menjamin kesejahteraan kita daripada segi kesihatan, aktiviti sosial dan juga cara pemikiran yang lebih bertakwakan kepada-Nya. Rentetan itu, tidak perlulah kita malu, segan dan menganggap cara pemakaian Islam adalah kolot. Sepatutnya kita merasa bangga dengan cara pemakaian Islam kerana ia menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.


Subhanallah, marilah kita renung-renung dan fikirkan...
Demi Islam itu sendiri, moga kita semua dalam kesedaran dan dalam perubahan yang lebih baik.
Kelemahan itu daripada saya dan kebaikan itu daripada Allah Maha Memiliki Kerajaan langit dan bumi serta segala isinya.


Wallahu'alam



SYUKRAN FOR READING

Nafas Cinta Cahaya



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sinopsis :
berlaku pada seorang gadis bernama cahaya yang mengandungkan anak semasa bersama dengan teman lelakinya. Tetapi teman lelaki cahaya sebaliknya tidak ingin bertanggungjawab dan terus meninggalkan cahaya dan anak yang di dalam kandungan. Penulis harap wanita yang membaca artikel ini dapat jadikan pengajaran dengan kisah hidup cahaya ini.
**************************************************


Pandangannya sedikit pun tidak beralih pada hamparan laut di hadapan. Matanya terus memandang dengan jiwa yang kosong. Kedengaran desiran ombak kecil yang menghempaskan diri ke pantai sambil bertemankan keriuhan suara tetamu-tetamu sang laut. Bibirnya menguntum senyuman kecil tatkala terpandang anak lelaki kecil yang sibuk mengutip anak-anak siput di sekitar pantai.

Berdiri di sebelahnya seorang lelaki yang mengekori setiap langkah anak kecil di hadapannya. Mungkinkah ayahnya? Tapi masakan terlalu muda? Mungkin juga abang kepada anak comel itu? Mungkin.

Ah, tidak semena-mena tangisan membasahi wajah Cahaya. Lantas pandangan dijatuhkan pada perutnya yang ditutupi baju labuh, kian membesar setiap waktu. Tidak berayah, tiada siapa, kecuali Cahaya yang putus asa. Airmatanya mengalir deras, jantungnya berdegup kencang. Kakinya lantas mengorak langkah dan terus mara setapak demi setapak.

“Adi, you dah janji nak kahwin dengan I ? Takkan you nak biar I macam ni?”

“Hey perempuan.. aku nak letak muka aku kat mana kalau aku kahwin dengan kau? Entah-entah dia bukan anak aku.. entah jantan mana punya pasal aku pula jadi mangsa.”

“Sumpah Adi, I tak pernah buat kat orang lain. Apa ni? Mana janji-janji you selama ni? Gara-gara you, I pregnant sampai dibuang keluarga. Gara-gara I cintakan you lah I jadi macam ni.”

“Oh… kau ingat bila keluarga kau dah buang kau, kau boleh suka-suka tinggal dengan aku? Sorry… aku pun tak nak nasib sama dengan kau.. aku masih muda lah Cahaya. Takkan aku nak jaga anak pulak?”

“So, you memang tak cintakan I lah? Selama ni you just main-mainkan I?”

“Bukannya masalah aku… kau yang terlalu percaya sangat. Dasar perempuan murah.”

“Apa you kata? Eh,Adi…sedarlah diri sikit, kalau you kata I perempuan murahan, you pun lelaki murahan, takde beza.”

“Baguslah kalau kau dah kata macam tu.. sebab lelaki yang kau kata murahan ni langsung takde hati kat perempuan murahan macam kau. Sekarang baik kau pergi mampus dengan anak sialan kau tu.”

“You yang bawa sial kat I. Kurang ajar punya jantan. You dah musnahkan hidup I. Bodoh!”

Kereta dipacu laju dan meninggalkan Cahaya yang terkulai dengan seribu tangisan. Peristiwa yang baru beberapa jam berlalu, masih terasa bahangnya dalam jiwa. Gejolak dalam hatinya tiada siapa yang peduli. Papa?Mama?

Ah…semuanya meninggalkannya terkapai-kapai lemas dalam luka yang ditanggungnya. Penyesalan yang kini memakan dirinya. Kini, hanya ditemani denyutan bayi yang tidak diminta hadirnya.

Langkahnya terus mara melangkah setapak ke hadapan, ditemani bayi hasil daripada taburan janji cinta palsu lelaki hipokrit. Mara setapak lagi dan kini air mula membasahi separuh betisnya. Tangisan dan sedu terus mengiringi aturan langkahnya . Semakin lama jasadnya dibasahi air mata dan menenggelami lebih separuh tubuhnya. Nyawanya kini bagai tiada nilai. Kini yang ada di sudut jiwa dan fikiran hanyalah mahu menemui kematian. Biar laut menjadi saksi kedukaan sang pencinta yang berdosa. Biarlah laut melemaskan jasadnya sebagaimana cinta melemaskan seluruh jiwanya. Cahaya memejamkan mata.

‘Tiada gunanya hidup lagi anakku, saat dunia membenci kehadiranmu. Maafkan ibu.’
Cahaya menarik nafas sedalam-dalamnya dan berharap nafas itulah yang menjadi titik noktah dalam hidupnya. Biarlah aku pergi…

Pergi dari kelukaan…
Pergi dari semuanya…

Tiba-tiba tubuhnya disentap dari belakang dan ditarik keluar dari isi lautan, tidak semena-mena dia terbaring di tepi pantai. Cahaya bernafas tercungap-cungap. Sementara lelaki yang basah kuyup dihadapannya memandangnya dengan pandangan tajam. Titisan air dari rambutnya masih menitis dan jasadnya benar-benar bermandikan air laut petang itu. Kenapa saat-saat dia mahu membunuh diri pun masih ada halangan yang menerpa?

“Awak, banyak lagi cara lain nak selesaikan masalah, tapi bukan dengan cara ni. Awak patut fikir kesihatan bayi dalam kandungan awak tu. Jangan kerana kebodohan awak, anak yang tak bersalah pun menanggung sama.”

Suara yang dilontarkan dari bibir pemuda itu menambahkan lagi hirisan luka dalam jiwanya. Jeritannya yang berbaur kemarahan tetapi masih berlapiskan kesedaran.

“Senanglah awak cakap, bukan awak yang menanggungnya. Saya yang rasa, saya yang merasai kesakitan ni, saya dah tak ada sesiapa lagi, jadi apa bezanya kalau mati sekalipun?” Bentakku melontarkan rasa yang terpendam di hati. Perkataan ‘mati’ itu sengaja ditekankan sebutannya.

“Ya…saya faham. Saya tak rasa semua kesakitan awak, tapi saya dapat rasakan kesedihan anak yang awak kandung tu. Allah dah berikan dia nadi dan kasih sayang dari awak, tapi ibunya sendiri yang ingin membunuhnya. Anak mana yang mampu terima semua tu? Awak silap kalau awak rasa mati lebih baik.”

“Huh…awak ingat saya kisah semua tu? Pergi jahanamlah ceramah awak tu.”

“Saudari, saya tiada niat sedikit pun nak menzalimi saudari, niat saya cuma nak membantu. Seandainya awak menolak niat baik saya, sekurang-kurangnya benarkan anak dalam kandungan tu menerimanya. Itu saja saya mahukan daripada awak.”

“Kenapa awak ambil peduli dengan anak dalam kandungan ni? Awak bukan ayahnya. Ayahnya sendiri tidak mengaku, apa lagi orang luar yang baru saya kenali? Lagipun, untuk pengetahuan awak…bayi dalam kandungan ni anak yang akan lahir tanpa perkahwinan yang sah. Orang kata anak haram. Melahirkan anak ni samalah menambahkan lagi kedukaan kepada anak ni.”

“Anak dalam kandungan tu tak bersalah. Anak tu tetap lahir dalam keadaan suci. Bertaubatlah saudari, Allah masih memberi kasih sayangnya dengan memberikan awak nyawa untuk terus hidup dan nafas untuk terus kekal dalam dunia yang sementara ni. Saya peduli anak tu sebab…”

Katanya terhenti di situ. Cahaya mengangkat kening meminta kata-kata lelaki itu diteruskan. Dia mula meragui keikhlasan lelaki dihadapannya. Malangnya, ketika itu muncul kelibat budak lelaki comel tadi menerpa ke arah lelaki itu dan memegang erat tangannya. Mata budak itu merenung Cahaya. Renungan yang menghantar rasa sebak di ruang hati Cahaya.

“Abang tak nak ajak kakak ni balik sama ke? Kesian dia bang…jom la kita balik, nanti umi marah pula.”

Gesa budak itu sambil terus menarik tangan Cahaya. Saat itu Cahaya hanya mampu menurut, terdiam dan terpana dengan tindakan anak kecil itu. Budak lelaki itu terus tersenyum sambil kedua-dua belah tangannya berpaut pada genggaman tangan Cahaya dan lelaki tadi. Cahaya terkedu namun membiarkan sahaja langkahnya menuruti mereka.

Niatnya untuk menyatakan kemaafan pada lelaki itu terpadam lagi. Kelibat lelaki itu tidak kelihatan di rumah. Kemana agaknya Adam dan Aiman pergi saat-saat malam begini? Cahaya resah. Dirinya tidak dapat duduk betah. Sekejap menghadap ke kiri, sekejap menghadap ke kanan. Sekejap bangun menuju ke pintu dan sekejap lagi dia duduk kembali ke katil. Tanpa disedarinya tingkah lakunya diperhatikan umi.

“Kenapa nak? Tak selesa ke?” Umi yang bertelekung duduk di sisi Cahaya.

“Tak de la makcik. Bukan macam tu..” Bagaimana harus ku luahkan pada Umi tentang niatku?”

“Umi lihat dari tadi Cahaya mundar mandir dalam bilik. Anak sakit?”

“Tak, makcik.”

“Panggil saja umi, kan lebih senang. Ya tak ya, anak ni namanya siapa?”

“Cahaya.”

“Nur ke Nurul?”

“Tak…Cahaya Danisha.”

“Subhanallah, cantik nama tu. Cahaya..”

Cahaya tersenyum hambar, seakan nama itu amat bertentangan dengan dirinya yang baginya sudah kehilangan cahaya. Cahaya hidup, cahaya cinta. Kedua-duanya telah hilang cahayanya.

“Eh, kalau Cahaya nak solat, telekung ada atas meja tu. Umi dah suruh Aiman letak kat situ tadi.”

“Solat? Solat apa?”

“Solat maghrib? Solat lima waktu?” Soalannya tadi dijawab dengan soalan dari umi.

‘Ah, yang aku tahu cuma solat lima waktu, tapi maghrib tu solat ke berapa, niat solat, malah wudhu’ pun Cahaya tidak tahu.’ Cahaya tunduk dan berasa dirinya dihempap soalan yang mengunci lidahnya. Keluarganya selama ini tidak menitikberatkan soal agama. Bagi mereka syahadah itu sudah cukup membuktikan mereka Islam. Cahaya dihantar ke sekolah aliran Cina. Sekolahnya tidak mewajibkan para pelajar mendekati ilmu agama secara praktikal. Cukuplah dengan menghafal teori dan dia kerap kali terkeliru dengannya. Memang sepatutnya agama itu bukannya pelajaran teori. Tetapi pelajaran yang harus hadir bersama akal dan hati. Perlu dihayati dan diamalkan.

“Umi…Cahaya tak pernah solat. Bukankah solat itu dilakukan bagi yang bersedia sahaja?”

“Masya Allah…bila agaknya Cahaya rasa bersedia untuk solat?”

“Entah…Cahaya tidak pandai solat umi. Selama ni Cahaya tidak pernah diajak ataupun disuruh solat. Tapi Cahaya tahu Cahaya orang Islam. Cahaya tahu ucap syahadah.”

“Islam bukan hanya pada mengucap syahadah, tapi mengamalkan maksud disebalik syahadah tu. Tapi Umi tak salahkan kamu…sekarang ni Cahaya belajar dengan umi, ya? Kita belajar perlahan-lahan.”

Cahaya menganguk dan tidak semena-mena tangisan keluar dari matanya. Umi didakapnya sebak. Di mana lagi harus aku cari insan yang tidak mempertikaikan kejahilan dalam dirinya dan terus memandangnya sebagai hamba Allah yang benar-benar memerlukan hidayah. Ya Allah…sesungguhnya semua ini mempunyai hikmah.

Selesai solat maghrib berjemaah berimamkan Adam, Cahaya mengambil masa untuk membaca Tafsir Al-Quran milik Adam di atas meja bilik itu. Dia masuk ke dalam bilik dan mula membaca Tafsir Al-Quran tersebut.

Bacaan surah Al-Insyirah dibacanya walaupun masih tersekat-sekat. Diulangi dan dibacanya lagi secara perlahan-lahan. Sehingga ayat 5 dan 6.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”

Bacaan cahaya terhenti sebentar. Mengamati makna bacaan surah Insyirah. Hatinya tiba-tiba sahaja diruntun kesedihan yang teramat. Lantas diulang ayat 5 dan ayat 6 itu diiringi tangisan kecil. Setelah itu, disudahkan bacaan dengan bacaan Al-fatihah dan selawat nabi yang diajarkan umi kepadanya. Perlahan-lahan kitab kecil itu ditutup, diangkat dan dicium ke dahi. Telekungnya bertemankan air mata pada malam itu. Ayat itu benar-benar meresap ke dalam jiwanya. Membelai hatinya yang gelisah. Lantas dia keluar dari bilik menuju ke ruang tamu.

Adam dilihat termenung memandang skrin komputer riba di hadapan sambil Aiman khusyuk membuat kerja sekolahnya. Cahaya perlahan melangkah membawa kandungan yang telah berusia empat bulan. Dia duduk di kerusi hujung. Jauh sedepa dari Adam.

“Eh, Cahaya? Tak tidur lagi ke?”

“Tak mengantuk lagi.” Cahaya mencari kelibat umi. Mungkin sudah masuk tidur agaknya.

“Awak nak guna tak?”

Ujar Adam sambil menunjukkan komputer ribanya. Lantas dia memberi ruang dan duduk di kerusi sebelah Aiman. Cahaya sekadar menggeleng.

“Takpe…awak gunalah dulu, saya ke dapur buat air. Awak nak minum air Milo tak?”

“Eh, tak perlulah susah-susah. Saya boleh buat sendiri.”

“Tak pe, tak susah pun, cuma letak Milo, gula dan bancuh air panas. Siap. Senang je kan?”

Cahaya tergelak kecil mendengar jawapan Adam. Aiman pula mengangkat muka memandang wajah abangnya.

“Abang…air Milo satu lagi untuk Aiman.”

“Amboi! nak jugak. Baiklah Man…” Aiman tersenyum manis. Cahaya mula mengangkat tubuhnya dan duduk menghadap skrin komputer riba Adam. Kelihatan laman sosial ‘Facebook’ dan profil milik Adam terpampang di skrin. Satu persatu dibacanya. Adam Hafizy. Gambar anak palestin dijadikan gambar profil. Lantas matanya beralih ke status Adam.

‘Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Tagaabun:11)

Indah. Terlalu indah ayat Al-Quran yang menjadi status Adam di saat itu. Hatinya terus melagukan zikir.

Sebak di dada Cahaya sehingga matanya mula digenangi titisan berkaca. Semua yang berlaku dengan izin Allah atas kelemahan dirinya. Betapa sebelum ini dia buta pada syahadah yang dilafaznya. Betapa rugi dirinya tidak mengenal ‘alif ba ta’ pada usia muda. Betapa malang dirinya menggadaikan cinta pada nafsu dunia.

Astaghfirullahal’azim..ampunkan hambaMu ya Allah..

“Ini air Milo untuk awak dan ini untuk Aiman. Tapi Aiman siapkan dulu kerja sekolah tu.”

Air Milo panas diletakkan atas meja makan yang jauh sedikit dari ruang tamu. Adam duduk di situ sambil memerhatikan Cahaya dari jauh.

“Terima kasih, abang.” Ujar Aiman sambil matanya tidak lari dari buku teks sekolah di hadapannya. Dia begitu leka menulis.

Cahaya berdiri dan duduk berhadapan dengan Adam.

“Terima kasih, awak.” Suara Cahaya perlahan keluar di bibirnya. Membaca basmallah dan menghirup air Milo panas. Adam hanya tersenyum dan turut meneguk minumannya.

“Cahaya ada facebook tak?”

“Ada.” Jawab Cahaya. Pendek.

“Cahaya add la saya..log out je account saya tu.”

“Awak tak nak guna ke?”

“Takpe…saya memang nak biar awak guna. Takut awak bosan nanti, pergilah.”

Kalau boleh biarlah Cahaya duduk sahaja di situ. Bukan apa, dia sememangnya hilang minat untuk melayari laman sosial ‘Facebook’. Tapi disebabkan Adam mahu dirinya di tambah sebagai rakan, terbuka juga langkah dan niatnya untuk mengemaskini akaun profil laman sosial itu.

Sebaik sahaja log in ke akaun Cahaya berjaya, terpampang gambar dirinya dan Adi tersenyum berpegangan tangan bersama. Hatinya terasa seperti dicucuk besi panas. Sakit hatinya apabila melihat profil dihadapannya. Dengan segera dia memadam semua album lama bersama Adi, dan menukar gambar profilnya kepada apa-apa sahaja gambar simpanan Adam di komputer riba itu. Kalau gambar bunga atau gunung sekalipun dia tidak kisah. Biarlah…Asalkan bukan gambar jantan tak berhati perut itu. Setelah itu dia menghilangkan kewujudan ‘jantan’ itu dari senarai rakannya. Puas…

Biar sejarah itu terpadam di ingatan dan di mana-mana sahaja. Mengingatinya menambahkan lagi rasa benci di hati, menghilangkan ketenangan dalam diri. Dia mahu segera melupakan ingatan pahit yang pernah hadir dalam hidupnya.

Kali ini bibirnya mengukir senyuman. Senyuman kemenangan apadila berjaya membersihkan memori hitam daripada profilnya. Lahirlah Cahaya yang baru. Cahaya Danisha. Status…single, tag pada profilnya ‘Islam is the light’.Statusnya:

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.(Al-Insyirah )”

Bibirnya tersenyum lagi. Surah Al-Insyirah ayat 5 dan ayat 6 itu menjadi status pada halamannya. Sungguh, dia benar-benar cintakan ayat daripada kalam suci Al-Quran. Matanya beralih sebentar melihat kelibat Adam yang duduk di meja makan, Adam begitu khusyuk dengan buku di tangannya. Entah buku tebal apakah yang dipegangnya. Lantas pandangan dialihkan pula pada Aiman yang kini sedang menikmati air Milo.Tentu kerja sekolahnya sudah siap. Terleka benar dia dengan facebook ini. Hilang mengantuk dibuatnya. Patutlah remaja sekarang aktif dengan laman sosial paling popular ini. Malah mereka menganggapnya sebagai ‘open diary’ hidup mereka.

Tiba-tiba, idea menjelma saat terpandang Adam tadi. Lantas jarinya menekan satu klik pada butang mesej. Jarinya ligat menekan kekunci huruf dan membentuk ayat. Mengamati sepenuh hatinya dan menekan butang ‘hantar’. Sesudah itu, dia kembali ke meja makan dan duduk kembali bersama Adam dan Aiman. Bertiga.

“Abang, esok abang nak pergi pukul berapa?” Soal Aiman dan memandang ke arah Adam. Cahaya kembali menikmati minuman kegemarannya. Adam menutup buku tebal itu dan menandakan dengan sekeping kertas biru.

“Awal sikit la. Jam 8.”

“Pergi mana?” Tanya Cahaya ingin tahu.

“Abang Adam balik KL. Abang kerja kat sana. Cuti sebulan abang dah habis. Dua minggu sekali baru balik kampung. Kadang-kadang, dalam sebulan tiga kali.” Adam mengiyakan jawapan Aiman.

“Oh..kerja.” ‘Kerja apalah agaknya?’ Hati Cahaya tertanya-tanya.

“Alhamdulillah, saya kerja biasa je Cahaya. Pensyarah.” Ujar Adam sekali gus menjawab pertanyaan Cahaya yang tidak terlahir pada bibir.

“Alhamdulillah..baguslah tu awak. Tak macam saya,belajar sampai ijazah pun masih tak ada kerja. Selama ni terlalu berharap sangat dengan family.”

“Wah..takpe la, InsyaAllah…awak akan dapat kerja yang baik Cahaya. Dulu awak ambil bidang apa?”

“Lebih kepada business.”

“Nabi kita kata, 9/10 rezeki datang daripada perniagaan.”

“Insya Allah, kalau cukup modal lebih baik buka perniagaan sendiri. Dapatlah berikan kehidupan yang baik buat anak-anak nanti.”

“Ya. InsyaAllah. Eh,awak dah tak nak guna ke?” Adam menuding jari ke arah komputer ribanya.

“Takpelah..lagipun saya nak berehat.”

“Baiklah…Aiman, kamu pun dah boleh masuk tidur, jangan lupa ambil wudhu sebelum tidur.”

Mata Aiman kecil sedikit. Mengantuk. Cahaya pula berdiri dan mengangkat cawan-cawan kosong untuk dicuci. Itulah kebiasaan anak-anak umi. Berwudhu’ sebelum tidur. Pesanan umi itu turut disemai dalam hatinya. Kata umi, selain membersihkan diri, wudhu’ juga boleh membersihkan jiwa. Ketenangan akan terasa semasa tidur, kita akan sentiasa mengingati Allah dan mudah untuk memujinya. Dapatlah menghindari tidur dengan hati yang lalai.

“Cahaya, takpe…biar saya yang buat. Awak pergilah berehat.” Adam mengambil kesemua cawan yang diangkat Cahaya tadi dan terus menuju ke dapur. Cahaya terkaku sebentar.

‘Semoga Allah merahmatimu Adam, kau terlalu baik dengan insan jahil seperti aku’. bisik hati Cahaya lalu melangkah masuk ke dalam kamar.

Suasana Sunyi Seketika.

Adam kembali pada komputer ribanya. Dia masuk ke halaman facebook miliknya. Tertera satu ‘permintaan menjadi rakan’ dan satu mesej. Dia terlebih dahulu menekan butang bersetuju meneriman Cahaya Danisha menjadi rakan. Jarinya membuka profil Cahaya Danisha. Cantik namanya, puji naluri Adam. Bibirnya tersenyum panjang saat melihat gambar profil Cahaya yang merupakan gambar ‘bunga teratai’ yang tentunya dimuat turun dari fail ‘my pictures’ yang terdapat di dalamkomputer ribanya. Tentu dia menukar gambar profilnya tadi. Lantas dia memberikan cadangan gambar anak perempuan palestin berhijab sambil tangannya memegang senjata sebagai ganti gambar teratai yang agak umum itu. Dia teringat kembali peti masuknya. Dia membuka mesej yang datang dari…

Cahaya? Dia menoleh ke arah meja makan, melihat tempat dimana Cahaya duduk tadi. Ah, kenapa dia tidak bersuara sahaja, tidak perlulah menghantar mesej! Matanya kembali menatap mesej ringkas itu.

Assalamualaikum,

Tentu awak terkejut sebab saya hantar mesej kat awak. Kadang-kadang sesuatu yang jauh dari dasar hati, walaupun terbit daripada emosi, tapi sukar diluahkan dengan kata-kata. Sepanjang sebulan bersama awak,umi dan Aiman.Alhamdulillah.

Saya bersyukur sangat kerana emosi dan jiwa saya dibalut dengan ketenangan. Ketenangan yang tidak sama dengan hidup berbalut kemewahan, takkan sama dengan kebahagiaan yang lain. Tapi, jauh di sudut hati…saya belum pernah menyatakan kemaafan saya atas kekasaran kata-kata saya sebulan lepas.

Benar, betapa kejahilan yang mendalam menyelubungi saya pada masa itu. Kalau bukan kerana Allah utuskan awak menyelamatkan pendosa yang hina ini,tenggelam dan lemas dalam nafsu dunia, tak mungkin saya masih bernyawa sehingga ke hari ini. Mulanya saya sememangnya tidak lagi redha atas kewujudan bayi ini, tapi Alhamdulillah… Syahadah jugalah yang menyelamatkan saya. InsyaAllah, walau apapun berlaku, saya akan tetap menyayangi anak yang akan lahir dari rahim ni. InsyaAllah… Saya yakin akan apa jua yang berlaku semuanya mempunyai hikmah. Kehidupanlah yang mengajar dan yang tersasar akan diberi pengajaran agar tetap pada jalanNya.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat keluarga awak. Tentu umi sangat bangga mendapat anak sebaik Adam dan Aiman. Doakan saya supaya terus membuat kebahagiaan dunia akhirat. Sekali lagi saya memohon maaf atas kejahilan saya.

(Malah bilik awak pun dah diceroboh orang asing seperti saya. Saya minta maaf banyak-banyak.)

Salam Maaf.

Adam mengetap bibir. Sedikit pun tidak ada kesalahan yang dilakukan Cahaya padanya. Malah dia tidak memandang Cahaya pada masa lalunya, tetapi dia melihat Cahaya itu pada ketabahannya meneruskan kehidupan. Pada cintanya yang mengejar Cinta Illahi. Pada rindunya yang bersinar saat melagukan zikir dan selawat. Ketenangan yang tetap dirasai pada sesiapa sahaja yang memandang Cahaya. Teduh wajah Cahaya disirami sopan bicaranya. Jauh berbeza dengan Cahaya yang ditemuinya di pantai sebulan lalu. Subhanallah, sesungguhnya kuasa Allah tiada batasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Gadis yang mahu membunuh diri dan jiwanya itu kini amat menyintai tarbiyah daripada Allah.

Matanya memandang beg berisi komputer riba di hadapannya. Melayani kebosanan yang mula bertapak, dia memasang komputer riba dan melayari internet melalui wireless di rumah. Membuka email yang semalam telah pun dikemaskini. Terdapat sepuluh email yang belum dibaca. Semuanya dari laman social yang popular itu. Satu persatu dibuka.

Terdapat dua mesej tertera di Facebooknya. Satu daripada sahabat lamanya, Dayana dan satu lagi tentu balasan mesej daripada Adam. Dia menukar gambar profilnya kepada gambar anak palestin yang dicadangkan oleh Adam. Cantik dan sayu. Tapi Cahaya suka dengan gambar barunya.

Email yang lain dibiarkannya. Mesej dari Dayana dibuka dan dibaca teliti.

Salam Caya..
Ke mana kau menghilang?? Dah lama tak nampak kau. At least tell me where are you now. Kau tahu kan aku risau sangat dengan kau, Caya. Aku dapat tahu yang kau dihalau keluar dari rumah, adik kau yang beritahu aku. Adi sekarang pula dengan perempuan lain, kau kenal Nadia kan? Ha..sekarang diorang dah couple!! Tak sangka Nadia yang kita percaya tu tikam kau dari belakang. Benci! Perempuan tak guna! Kalau kau baca mesej ni please reply as soon as possible. Aku sedia bantu kau. Biar kita balas perempuan tu.


Cahaya membalas mesej dari Dayana. Entah kenapa, tidak terbit langsung rasa benci dalam hatinya di saat mengetahui Nadia menggantikan tempatnya sebagai kekasih Adi. Malah, dia memanjatkan rasa syukur yang teramat kerana terlepas dari ‘buaya darat’ itu, walaupun sepatutnya Adi bertanggungjawab dengan anak yang dikandungnya. Tetapi kini, harapan itu telah lama terkubur. Biarlah, dia lebih rela membesarkan anak ini sendirian. Selesai menghantar balasan, Cahaya segera membuka mesej dari Adam.

Waalaikumussalam..
Cahaya…saya tahu awak pun akan terkejut sebab saya biarkan laptop ni untuk kegunaan awak. Saya risau awak bosan bila tak buat apa-apa. Saya dah sediakan buku atas meja bilik tu. Harap awak sudi membacanya. Umi tak nak awak terlalu banyak bergerak,sebab tu kalau ada buku dan laptop ni sedikit sebanyak dapat hilangkan boring.

Cahaya…Saya sangat suka dengan nama awak yang unik. Sepanjang mana pun sebutan ‘cahaya’ tapi saya suka. Eh, dah lari tajuk pula, hihi.. Tentang kejadian di pantai dulu, semuanya berlaku atas izin Allah. Tidak tersimpan sedikit marah atau dendam pun tentang awak. Tiada apa yang perlu dimaafkan. Awak pun sedikit sebanyak mengajar saya tentang kehidupan. Ketabahan awak sukar ditemui.

Cahaya…Terjaga dari tidur tidak sama dengan terjaga dari mimpi. Jika terjaga dari tidur, kita akan bangun dan tidak merasakan sesuatu seperti terjaga dari mimpi. Kita seakan dikejutkan dan diminta bermuhasabah diri. Andai mimpi itu mimpi buruk, kita pasti beristighfar dan mencari nilainya yang positif. Andai terjaga dari mimpi indah kita akan bersyukur dan berharap tidak akan terleka darinya. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah… Dia memberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Bersabar dan pasti kita akan menemui ganjarannya.

Cahaya…untuk pengetahuan awak. Kehadiran awak di rumah serba sederhana dan penerimaan awak pada kesederhanaan itu cukup bermakna buat kami. Sedikit sebanyak kehadiran Cahaya memberi nafas baru buat kami. Malah umi selalu memuji Cahaya pada Adam. Kesungguhan awak mendekati ilmu agama benar-benar dikaguminya. Lihat sahaja diluar sana, berapa orang yang akan bangkit selepas dilanda musibah dan ujian dari Allah? Malah terlalu sedikit yang mahu bersyukur dan kembali ke jalan yang benar. Sedangkan pintu taubat masih terbuka, kemaafan Allah lebih besar dari segala dosa di muka bumi. Subhanallah..

Cahaya… Awak tak perlulah rasa bersalah. Awak bukan menceroboh bilik tu, saya dengan rela hati beri bilik tu kat awak. Harap dapat beri sedikit keselesaan dengan bilik yang tak seberapa. Lagipun awak bukannya orang asing. Selagimana kita seagama, kita adalah saudara. Jangan lupa add ym saya. Adam_Hafizy86@yahoo.com. Kelak kita boleh bicara lebih panjang. Saya dah titipkan pesanan pada Aiman, kalau awak nak Milo atau apa-apa, awak boleh minta tolong kat adik comel kita, Aiman. Jaga diri baik-baik.
Salam ukhwah Cahaya.

Cahaya tersenyum dan tertawa dalam tangisan. Sempat juga Adam ingat tentang ‘air Milo’ minuman kegemarannya.

Adam…Adam…Tanpa kehadiran awak di rumah ni pun awak masih mampu membuat Cahaya tersenyum. ‘Hebat betul aura awak Adam!’

Cahaya bergegas bangun dan menuju ke ruang kamar, terasa ingin tahu yang membuak-buak di dadanya. Buku apakah yang ditinggalkan Adam buatnya? Pandangan tertumpu pada buku itu. Buku tebal?

Ya…buku tebal yang berwarna biru. Buku yang dibaca oleh Adam semalam, baru kini dia melihatnya dengan jelas judul bukunya. ‘La Tahzan’ Jangan bersedih. Buku yang benar-benar menarik hati. Diselaknya perlahan. Tertera sedikit tulisan tangan dari Adam.

~Khas buat Cahaya yang kami sayangi
La Tahzan..Sesungguhnya Allah bersama kita

Cahaya terharu. Dipeluk buku itu ke dadanya. Hatinya benar-benar terusik. Titisan jernih mengalir lagi.

“Alhamdulillah..Alhamdulillah…Allah bersamaku.” Sebutnya dalam sebak.


Aku Cuma An-Nisaa

Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah..
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersihkan cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah
Tukang sisir yang beriman
dan Keluarga Yasir yang bertakwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia..
Entah mana hilangnya Iman di dada

Ya Rahman..
Kuatkan Imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti sumaiyah
Biar tombak menusuk jasad..
Iman sedikit pun takkan rapuh.

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah

Ya Allah..
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga Iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkan rupa yang menjadi pilihan
Ketulusan Iman diketepikan
Ya Allah..
Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..

Ya Allah…
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah

Ya Allah..
Mampukah aku contohi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan Imanku sepertinya..Ya Rahim..

Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH
Dia meratap tangis..
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..
Mampukah aku menjadi ibu yang berjihad?
Sedang anak tak tutup aurat pun masih tak terjawab
Sedang anak tinggal solat pun buat tak kisah
Berikan aku kekuatan sepertinya..
Agar bersedia pada akhirat.

Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah..
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diri cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah
Dimana syahadah hanya pada nama
Dimana Dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas sentiasa dileraikan
Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan

Wahai Kaum Hawa
Kita cuma An-Nisaa
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para Mujahidah
Namun Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
kerana padanya ada Pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!

Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana Indah
dan Indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya Syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami ke arah syurga..
Bicara dari An-Nisaa yang hina..
Makbulkan doaku..
Aamiin..

“Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya, sesuatu yang baik belum tentu berakhir dengan baik. Begitu juga sesuatu yang buruk belum tentu berakhir dengan derita. Apa yang penting ialah tanamkan cinta pada Allah, pada jalanNya. Keyakinan pada Allah harus melebihi daripada keyakinan kita pada diri sendiri, malah pada orang lain.

Memanglah mudah untuk kita berkata dan payah untuk melakukan. Memanglah mudah untuk jatuh rebah dan susah untuk bangun kembali. Memanglah mudah untuk berbuat amal tetapi payah pada istiqamah. InsyaAllah, semuanya terletak pada kekuatan hati yang turut dipandu oleh akal kita. Akal yang bertunjangkan iman dan ilmu. Kita sering berbicara tentang taubat dan bila masa sesuai untuk dilakukan. Seandainya rasa cinta itu wujud, pasti akan ada jiwa hamba yang rindu beramal dengan Maha pencipta.Lihat sahaja pada nadi, selagi nadi berdenyut, selagi nafas menghembus, pintu taubat masih terbuka buat hambaNya.

Tetapi kesombongan kita yang membawa kita malu untuk bertaubat pada hari ini. Keegoan kita yang menarik kita untuk bertangguh pada hari esok, kejahilan kita yang membuat kita berfikir akan selalunya ada hari esok. Seandainya dosa itu dapat dilihat, pasti kita dipenuhi dengan noda. Seandainya pahala itu dapat dilihat, pasti diri dikabus dengan riak. Para pencinta Illahi itu pemalu, malu menzalimi diri yang hanya pinjaman dari Nya. Para pencinta jihad fisabilillah itu penakut, penakut pada mati tanpa berjuang menegakkan agama Allah. Para pejuang syahid itu pengecut, pengecut kepada mati tanpa mengingati Allah.”

Panjang bicara Cahaya pada petang itu sempena undangan sahabat baiknya, Damia. Pertemuan di atas takdir Allah telah menyatukan minat mereka untuk bersatu dalam jihad.

Cahaya turut menguruskan butik dan kadangkala meluangkan masa untuk hobinya yang minat dalam bidang penulisan. Sebuah novel bertajuk ‘Nafas cinta Insyirah’ berjaya diterbitkan dengan izin Allah dan diedarkan secara percuma kepada penghuni Rumah Annisa. Malah hasil keuntungannya akan diberikan separuh kepada rumah perlindungan Annisa. Terbit kukuh di dalam hatinya, jihad untuk memperbaiki diri sendiri dan jihad untuk memperjuangkan jalan mencari cinta Allah.

Insyirah… Cinta kali pertamanya pada kalamullah surah Insyirah dan kemudian dipilih sebagai nama anak perempuannya. Adam yang duduk di hujung dewan setia menanti isterinya selesai sesi usrah dengan penghuni rumah kedua mereka, Baitul Annisa.

“Bantu-membantu lah antara kamu atas urusan kebaikan dan taqwa, dan jangan lah pula kamu bersubahat membantu dalam urusan dosa, keji dan permusuhan.(Al-Maidah : 2)

Dan Saidina Ali bin Abu Talib pula pernah berkata :

“Kadang-kadang dibuka bagimu pintu taat & tidak dibuka bagimu pintu penerimaan. Di kala yang lain pula ditakdirkan bagi engkau perbuatan maksiat,tetapi hal itu merupakan jalan bagimu untuk sampai (kepada kebaikan). Perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah & menyesal lebih dari perbuatan taat yang menimbulkan perasaan takbur & angkuh. (Ibnu Athaillah)..

Sekalung jutaan kesyukuran, Alhamdulillah..buat suami tercinta Adam Hafizy dan anak tersayang, Insyirah serta umi dan keluarga. Papa dan Mama yang sentiasa mekar dalam doa.”

Ucap Cahaya sebelum menutup usrah pada petang itu dengan bacaan doa dan selawat sambil matanya mengerling dan tersenyum memandang anak dan suaminya dari jauh.


-THE END-





SYUKRAN FOR READING

Monday, 19 August 2013

Si Muslimah Bertudung Labuh




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Seorang lelaki muslim yang bagus imannya akan terpaut hatinya kepada wanita muslim yang bagus imannya juga. Begitu juga sebaliknya. Ini adalah fitrah manusia. Saling tertarik apabila mereka mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang hampir sama.

Manusia tidak dapat menilai kebaikan seseorang manusia lain melainkan setelah mengenali di antara satu sama lain. Jadi, perkara pertama yang menjadi ukuran seseorang pastinya melalui penampilannya. Melalui penampilannya, seseorang dapat diukur secara zahir bagaimana peribadinya. Samada seseorang itu baik, rajin, pandai, kelakar, garang, malas dan sebagainya masih belum pasti. First impression comes first.

Awal-awal Bertudung Labuh




Wanita yang bertudung labuh atau dipanggil juga bertudung bulat memberi impressi (tanggapan pertama) bahawa dia wanita yang bagus agamanya. Ia cuma impressi sahaja. Belum tentu dia solehah atau tidak. Dan kebiasaannya wanita yang memakai tudung labuh ini berlatar belakangkan sekolah agama. Kerana mereka diwajibkan untuk memakai tudung labuh.

Ada sebahagian pelajar-pelajar agama ini, di sekolah mereka bertudung labuh. Tetapi apabila berada di luar sekolah mereka tidak lagi mengenakan pada diri mereka tudung labuh. Ada yang memakai tudung biasa sahaja. Tudung tiga segi, malahan skaf pun ada. Ada juga yang tidak menutup aurat secara sempurna, tetapi bilangan mereka sedikit sahaja.

Sekolah agama memberikan tarbiyyah. Ia membentuk anak-anak didiknyaagar berada di landasan yang betul. Bagi pelajar muslimah di sekolah-sekolah agama, mereka diajar untuk menerapkan pakaian muslimah yang sejati pada diri mereka. Ini bertujuan untuk merealisasikan tuntutan ISLAM dalam berpakaian khas untuk wanita beriman.

ALLAH SWT telah berfirman dalam al-Quran berkaitan etika berpakaian wanita beriman yang maksudnya:

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…”

(Surah ke-24 an-Nur, ayat 31)


Pelajar-pelajar sekolah agama ini dikehendaki memakai uniform sekolah dan bertudung labuh, baju kurung yang longgar (tidak ketat), jenis kain yang tidak nipis dan berstoking panjang. Bukan itu sahaja, malahan hal batasan ikhtilat (percampuran lelaki & perempuan) turut diajar kepada mereka. Lelaki dan perempuan dipisahkan tatkala makan di kantin, tangga khas lelaki-perempuan, aktiviti kurikulum & ko-kurikulum kebanyakannya dipisahkan antara lelaki-perempuan dan sebaginya. Ini semua untuk dijadikan bekalan ilmu buat mereka serta mengamalkannya.

Bukan semua yang gembira dengan peraturan ini. Mereka terpaksa. Tetapi, memang begitulah proses pentarbiyyahan perlu dilakukan. Tanpa peraturan, mereka tidak akan patuh dengan kod pakaian yang ‘menyusahkan’ itu. Mereka pastinya mahu bebas dan bersantai-santai dalam berpakaian. Peraturan untuk berpakaian Islami ini adalah untuk kebaikan mereka sebenarnya. Kebaikan yang diukur dari kaca mata agama.




Tahun demi tahun dalam keterpaksaan, lama-kelamaan mereka berasa selesa dengan bertudung labuh. Malahan ada yang jatuh cinta dengan cara berpakaian tudung labuh pula. Mereka membawa cara berpakaian yang penuh kesederhanaan ini ke luar sekolah. Hatta, sehingga habis sekolah. Sampai ke universiti, sampai ke alam pekerjaan.

Tetapi bilangan mereka yang tetap dengan tudung labuh tidak ramai disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktornya ialah kesesuaian pekerjaan (nature of work), trend, fesyen, akibat keluarga dan sebagainya. Yang paling penting ialah mereka MENUTUP AURAT dengan SEMPURNA. Samada bertudung labuh atau tidak, bukanlah menjadi ukuran utama. Kerana syariat hanya menyuruh mereka menutup aurat. Asal sahaja sudah menepati syariat, nah silakan…


Pandangan Masyarakat Terhadap Wanita Bertudung Labuh

Pentingkah pandangan masyarakat jika sesuatu yang diperbuat itu betul? Pentingkah untuk kita ambil pusing dengan kata-kata orang lain, jika apa yang kita amalkan menepati tuntutan syar’iyyah? Tak perlu, bukan? Saya sengaja melontarkan persoalan itu untuk sama-sama kita fikirkan. Agar kita tetap dengan pendirian kita jika apa yang kita buat itu betul, walaupun barangkali ada yang berkata itu dan ini.

Ada sebahagian dalam masyarakat memandang wanita yang bertudung labuh ini ketinggalan zaman, kolot, tak moden, tak ikut trend dan sebagainya. Namun, ada sebahagiannya juga memandang hormat, tinggi, segan dan mulia kepada mereka ini.

Hampir 100% pandangan yang saya temui mempunyai pandangan yang kedua, iaitu memandang tinggi dan hormat kepada wanita yang bertudung labuh. Malahan sebahagian yang tidak bertudung labuh ada yang menanam hasrat untuk bertudung labuh, tetapi segan dan malu disebabkan tidak pernah berpakaian seperti itu. Mahu, tetapi malu.

Saya secara peribadi ingin berterus-terang bahawa saya selalu didatangi perasaan yang damai tatkala terpandang wanita yang bertudung labuh. Apabila ternampak mereka dari jauh, rasa sejuk hati ini. Saya rasa ramai lelaki yang mempunyai perasaan seperti ini. Tetapi, kalau mat-mat rock, mat-mat punk, mat-mat rempit, mat-mat disko dan seumpama dengannya, saya rasa mereka takdelah perasaan macam ni. Eh, entah-entah pun ada perasaan yang sama…? Agaknya mereka pun rasa tersentuh, rasa beragama…

Perasaan yang datang apabila terlihat wanita bertudung labuh bukanlah perasaan ingin melakukan yang ‘bukan-bukan’. Sebagaimana apabila seseorang lelaki nampak perempuan seksi, apa yang terlintas di dalam hatinya pastilah sesuatu yang berkaitan dengan seks. Syahwat segera bernyala-nyala tatkala melihat wanita yang ‘buka-buka’.

Tetapi apabila ternampak wanita bertudung labuh, perasaan damai datang. Rasa ingin membimbing, membela dan mendidik wanita itu segera hadir. Malah datang juga perasaan beragama pada diri. Juga rasa ingin berkeluarga, keluarga yang soleh.

Ini bukan kesimpulan yang saya buat bagi diri saya sahaja. Malahan pernah saya dan kawan-kawan membicarakan hal ini suatu ketika dahulu. Di forum-forum Islami di internet juga tidak lepas membicarakan perkara yang sama. Ya, wanita bertudung labuh lambang wanita yang hidup beragama.

Isteri saya sendiri bertudung labuh. Sejak beliau di bangku sekolah, di universiti sehinggalah kini bekerja dan berumahtangga. Saya suka isteri saya bertudung labuh. Rasa damai dan tenang apabila saya berjalan di tengah ramai sambil saya memimpin tangan isteri. Rasa cinta dan rasa hidup beragama sentiasa mekar sehingga kini. Mudah2an beliau terus dengan bertudung labuhnya. Kerana mata dan hati ini sejuk apabila melihat beliau berpakaian begitu.

Kesimpulan

Tulisan ini bukan ditulis tanpa tujuan. Tulisan ini diharap dapat memberi motivasi kepada diri muslimah remaja yang berkira-kira ingin membuang tudung labuh dari tubuhnya. Sebahagian mereka rasa ketinggalan zaman. Rasa ‘takde orang nak’ orang yang bertudung labuh ini. Rasa terpinggir dengan berpakaian tudung labuh ini. Percayalah, cara berpakaian sedikit sebanyak boleh mengawal diri dari kita melampaui batas.  Dengan bertudung labuh, pasti akan ada setitik penyedar. Kita ingat siapa kita. Kita tak mahu diri terfitnah. Kita tak mahu agama terfitnah.  Janganlah dibuang tudung labuh itu dari tubuh kalian. Kalian nampak ayu dan sopan bertudung labuh. Kalian menimbulkan rasa ingin beragama di kalangan sebahagian manusia. Samada lelaki atau wanita, rasa beragama tiba-tiba datang tatkala kalian muncul. Yang paling penting ialah berpakaian seperti itu jika betul niatnya dan caranya, kalian akan diredhai ALLAH.

Akhir sekali, ingatlah! Bahawa beramallah kerana ALLAH. Ikhlas kerana ALLAH. Ikut cara ALLAH. Bermatlamatkan ALLAH. Bukan disebabkan hal lain. Mudah2an kita semua digolongkan di dalam golongan solihin, amin… :)

Sumber : Muzir

SYUKRAN FOR READING