Thursday, 15 August 2013

Dakwah kita bagaimana?


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang






Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Kepada-Nya kita bergantung harap, bermohon, dan menyembah.

Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad SAW, penghulu segala rasul, juga buat ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya yang mulia dan para salafussoleh yang telah menaburkan jasa yang sangat besar kepada seluruh umat Islam hari ini dan ucapan sejahtera juga buat umat Islam seluruhnya. Semoga kita diberkati oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Pada suatu hari, Ja’far bin Sulaiman bersama-sama dengan Malik bin Dinar bersiar-siar di jalan-jalan bandar Basrah. Mereka menemui satu rumah besar yang sedang dibina. Mereka terlihat akan seorang pemuda sedang mengarahkan pekerja-pekerja yang sedang membina rumah besar itu.

Tiba-tiba mereka berhenti.




Malik bin Dinar : Hai Ja’far! Cuba engkau perhatikan betapa rancaknya pembinaan rumah besar ini!

Ja’far bin Sulaiman : Tentu dia seorang pembina rumah yang terkenal agaknya.

Malik bin Dinar : Adakah dia tahu sama ada boleh tinggal atau tidak di dalam rumah ini?

Ja’far bin Sulaiman : Bila sudah siap, tentulah dia akan menetap di rumah banglo ini.

Ini adalah awal penceritaan kisah-kisah orang soleh. Sudah semestinya, Malik bin Dinar dan juga Ja’far bin Sulaiman adalah orang-orang yang hebat yang rapat dengan Allah SWT. Kisah ini adanya manfaat. Kerana kisah orang soleh solehah sentiasa ada makna yang tersurat dan tersirat yang mampu menghidupkan hati kita.

Mata hati.

Baik. Disebalik kisah ini, apa yang ingin dikongsikan, ditekankan, difokuskan adalah cara kita berdakwah. Kisah Malik bin Dinar dan juga sahabatnya Ja’far bin Sulaiman ini memaknakan, dakwah itu bukan sahaja untuk orang lain yang menerima.

Sebelum mereka bertemu dengan seseorang, dan sebelum mereka menyampaikan sesuatu kepada seseorang… Malik bin Dinar terlebih dahulu memulakan langkah dengan bermuhasabah. Muhasabah dirinya, dan sahabatnya. Dan selepas itu, barulah mereka menjalankan dakwah.

Di dalam dakwah, ia tidak termaktub bahawa dakwah itu bercakap sepanjang masa. Adakalanya, dakwah itu perlu diikuti dengan tindakan. Sebagai contoh, kita berdakwah pada orang yang kurang mengerti akan kebaikan bersedekah.

Kita menerangkan kebaikan-kebaikan, menceritakan ganjaran-ganjaran bersedekah, dalam masa yang sama, adalah lebih terkesan apabila kita mencuit sedikit dengan tindakan.

Seperti, kita membantu menguruskan wang, harta, atau apa sahaja yang dimiliki oleh seseorang itu ke jalan yang baik. Kita salurkannya pada jalan-jalan yang dicintai oleh Allah SWT.

Dakwah juga, tidak akan mantap sekiranya kita memberhentikannya disitu. Dakwah mestilah disempurnakan. Memulakan dengan baik, melalukannya dengan baik, dan menghabiskannya dengan baik. Berdoa kepada Allah SWT, serta bertawakkal dan redha kepada-Nya adalah satu penutup yang sangat mulia.

Malah ini juga dituntut oleh setiap kita. Bayangkan, kita berada dalam satu organisasi. Sebagai ahli, ada di antara kita yang bukan beragama Islam di dalam organisasi tersebut. Baik dirinya, keluarganya, dan keturunannya. Jadi, tugas siapakah yang akan membantu sahabat yang bukan beragama Islam tersebut sekiranya bukan diri kita.

Siapakah yang akan menerangkan agama Islam sekiranya bukan diri kita. Siapakah yang akan mendoakan kesejahteraan beliau sekiranya bukan diri kita. Persoalannya, siapa lagi jika bukan diri kita sendiri.

Sebab itu, Islam amat menitikberatkan memberi salam sesama insan. Ia bukan sekadar ucapan khabar. Ia bukan sahaja peroleh ganjaran pahala. Ia adalah lebih daripada itu. Seperti solat. Jika kita renungkan, fikirkan, Allah SWT telah mengingatkan diri kita tentang meminta pertolongan kepada-Nya dengan sabar serta mendirikan solat.

Jadi, solat itu adalah doa. Jangan kita mengabaikannya. Ia merugikan kita, dan juga orang lain. Boleh jadi, doa kita kepada seseorang itu dimakbulkan oleh Allah SWT. Tidakkah kita kasih dan sayang pada orang lain kerana-Nya?



Umat akhir zaman digelar pendakwah.
Dakwah bukan mudah, tetapi perlu istiqomah

Perbaikilah dakwahmu dengan muhasabah.
Kemaskini dirimu dengan mujahadah.

Sampai nanti, peroleh barakah.
Insya-Allah! Insya-Allah!! Insya-Allah!!!

Teladanilah peribadi Rasulullah, yakinilah Allah.


Artikel : Akuislam.com

SYUKRAN FOR READING

No comments: