Tuesday, 20 August 2013

Kita dan Pemakaian Kita



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Pakaian adalah aset penting dalam sebuah kehidupan malah dalam Islam sendiri sebagai peraturan utama iaitu menutup aurat seperti mana telah berlakunya kepadaAdam dan Hawa as di mana telah tertutupnya aurat bagi mereka semasa Allah SWT menciptakan manusia pertama hingga mereka sendiri tidak menyedarinya. Lihat sahaja perlakuan syaitan yang bersungguhan dan berusaha dengan tipu dayanya untuk mempengaruhi Adam dan Hawa hingga terdedah aurat mereka dan mereka menyadari keterbukaannya, sehingga mereka berusaha menutupinya dengan daun-daun surga. Usaha tersebut menunjukkan adanya naluri pada diri manusia sejak awal kejadiannya bahwa aurat harus ditutup dengan cara berpakaian. Seperti penjelasan tentang pengertian tsaub, manusia pada mulanya tertutup auratnya. Ayat yang menguraikan hal ini menggunakan istilah…

"untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya"
(QS Al-A'raf [7]: 20).


Dengan itu mengikut cara hidup Islam berpakaian adalah satu tuntutan wajib bagi menutup aurat samada muslim atau muslimat. Peraturan Islam menggalakkan hamba-Nya memakai pakaian yang menampakkan ciri-ciri Islam iaitu tidak menyerupai cara berpakaian sesuatu bangsa atau jantina yang lain.

" ….harta ( mereka yang ada dalam kekuasaanmu ) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan . Berilah mereka belanja dan pakaian ( dari hasil harta itu ) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik." (An-Nisaa': 5 )


Warna-warna dan fesyen tidak pula dibatasi selagi ia menjamin kesejahteraan umatnya dan agama. Walau bagaimana pun pakaian yang terlebih baik adalah pakaian yang mengikuti sunnah baginda SAW iaitu warna putih bagi lelaki dan perempuan warna-warna yang tidak memberi perhatian iaitu warna-warna gelap atau suram. Contoh warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW.


Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih)." (an-Nasa’ie dan al-Hakim)


Menjadi persoalan di sini adakah kita sedar bahawa setiap penampilan kita boleh mempengaruhi cara pandangan kita, orang sekitar dan mempengaruhi cara hidup kita dan mereka. Lihatlah sekarang golongan muda-mudi utamanya yang beragama Islam telah berjaya mengubah cara hidup mereka daripada segi berpakaian ke arah pakaian yang membawa kemurkaan-Nya seperti tidak sopan, ketat, tidak menutup aurat dan menyerupai jenis yang berlawanan dengan mereka sendiri.


Hal ini terjadi kerana terpengaruh dengan budaya, bangsa dan agama lain. Biasanya cara berpakaian boleh juga mengubah sikap seseorang individu daripada segi percakapan dan tingkahlaku kita sendiri dan begitu juga kepada orang lain. Pada penelitian, jika kita berpakaian tidak sopan orang kurang menghormati kita daripada segi percakapan dan tingkahlaku dan amat berbeza dengan orang yang berpakaian sopan dan menepati cara pemakaian Islam.


Jadi pakaian juga adalah salah satu elemen dakwah yang berkesan kepada orang sekeliling. Pakaian yang bersih, kemas dan menarik boleh menambat hati seseorang untuk terpikat dengan cara hidup kita, mempengaruhi cara percakapan kita dan memberi pandangan baik kepada si pemakai. Memang tepat sekali dengan pepatah mengatakan pakaian melambangkan satu identiti seseorang. Jika pemakaian kita kotor dan selekeh mungkin pandangan orang bahawa kita adalah seorang yang pengotor serta tidak mementingkan penampilan. Ini akan menghasilkan sesuatu yang negatif yang mana tidak akan dicontohi atau tidak membawa kesan yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang individu mahu pun dalam agama itu sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud; “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”






Memang ramai mengatakan pakaian tidak melambangkan keimanan seseorang tetapi harus diingatkan bahawa melalui pakaian boleh juga menambahkan keimanan dalam diri kita. Sebagai contoh jika kita mengikuti sunnah baginda SAW, kita akan merasa lebih dekat dan cinta kepada baginda SAW dan lebih mengingati akan tingkah laku supaya menuruti apa yang diperintahkan-Nya. Jika dibandingkan sebaliknya iaitu makin lama makin hilang rasa malu dan makin melampaui batas cara pemakaiannya. Ini menunjukkan kesan bahawa makin tipisnya iman seseorang hasil daripada pilihan pakaian mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'araf, ayat 26 yang bermaksud;


“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan- bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Apa salahnya kita sebagai umat baginda SAW mempamerkan cara berpakaian yang beridentitikan Islam itu sendiri. Kita sepatutnya perkukuh, perteguh, berbangga dan memartabatkan pakaian Islam itu sendiri agar kita umat Islam turut mempunyai jati diri yang kuat. Sebagaimana yang diperhatikan kenapa perlu mengikuti cara pakaian bukan identiti Islam itu sendiri?, kenapa kita sendiri menghindari daripada memakai pakaian yang dituntut Islam?, kenapa kita juga yang merendah-rendahkan pakaian agama kita sendiri dan kenapa kita yang Islam ini turut memperagakan pakaian yang bukan daripada identiti kita?. Nampakkah di mana maruah kita sebagai seorang Muslim?. Bagaikan tiada kekuatan pada diri untuk mengelak dan mencegah sebaliknya hanya menerima dan terus menerima tanpa memikirkan maruah agama kita sendiri. Siapa lagi yang akan mengangkat pemakaian cara Islam jika bukan kita sendiri yang mesti melakukannya.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa', ayat 85 yang bermaksud; 
“Sesiapa yang memberikan syafaat (tauladan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan tauladan yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas semua perkara.”


Astahgfirullah Al-Azim inikah umat Islam yang perlu dicontohi?, inikah umat Islam yang perlu dibangga-banggakan?, inikah umat Islam yang perlu dijulang oleh penganut lain?. Jika inilah sikap umat Islam, dengan itu tiada apa yang perlu dicontohi, dibanggakan dan perlu dijulang kerana umat Islam itu sendiri mengotori, mencabul, merendahkan dan mencalarkan cara pemakaian umat Islam itu sendiri.

Sesungguhnya, cara pemakaian Islam adalah yang terbaik kerana menjamin kesejahteraan kita daripada segi kesihatan, aktiviti sosial dan juga cara pemikiran yang lebih bertakwakan kepada-Nya. Rentetan itu, tidak perlulah kita malu, segan dan menganggap cara pemakaian Islam adalah kolot. Sepatutnya kita merasa bangga dengan cara pemakaian Islam kerana ia menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.


Subhanallah, marilah kita renung-renung dan fikirkan...
Demi Islam itu sendiri, moga kita semua dalam kesedaran dan dalam perubahan yang lebih baik.
Kelemahan itu daripada saya dan kebaikan itu daripada Allah Maha Memiliki Kerajaan langit dan bumi serta segala isinya.


Wallahu'alam



SYUKRAN FOR READING

No comments: