Saturday, 24 August 2013

Ukhwah Fillah



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang







Sahabat yang terbaik,

Bukanlah yang hanya mampu berkata: “Sabarlah, Sabarlah.”

Tetapi adalah sahabat yang akan berkata,

“Apa masalahmu? Mari aku bantu.”




Termenung. Sedikit kebosanan. Ruang mataku diisi dengan sebatang pokok di hadapan Dewan Makan, dan di sekeliling pokok itu terdapat pelajar-pelajar lain yang kelihatan seronok bersembang sesama sendiri. Rasa menyesal pula pergi terlalu awal ke tempat ini. Rupanya hari ini Dewan Makan akan dibuka sedikit lambat. Lebih baik melepak di atas musolla tadi, boleh juga berbaring menghilangkan letih di tengah hari ini.

Sudah seminggu di sekolah baru ini. Aku masih tidak punya kawan rapat. Namun, aku tidak berapa peduli. Aku seakan dapat menghidu bahawa takdirku adalah berseorangan di atas dunia ini. Setakat aku berumur 13 tahun ini, aku memang tidak punya seorang pun teman yang boleh digelar sebagai sahabat karib. Sedang teman sekolah rendah sepanjang 6 tahun pun tiada satu yang rapat denganku, apatah lagi di sekolah asrama yang baru aku jejaki ini.

Mungkin kerana aku berbeza. Mungkin. Aku kasar, tidak mudah berkata lembut, agak lancang, asyik berfikiran jauh, tidak suka bertolak ansur, dan sering hendak menang dalam apa-apa sahaja. Ah, aku tidak peduli. Bukan satu kekurangan buatku. Aku bisa sahaja hidup sendiri.

“Seorang sahaja?”

Cuping telingaku menangkap pertanyaan itu. Membuatkan leherku automatik menoleh. Seorang pelajar berpakaian pengawas, agak tinggi, berwajah cerah, memakai songkok, sedang berdiri di hadapanku dengan roman wajah yang manis. Siapa pula ni?

“Boleh aku duduk sebelah kau?” Dia bertanya. Nyata aku duduk berseorangan di atas penghadang jalan berdekatan Dewan Makan ini. Malas-malas aku mengangguk.

“Kenapa seorang sahaja?”

“Memang tak ada kawan.” Aku menjawab perlahan sambil menekur jalan tar di hadapan.

“Oh, biasalah. Kau baru lagi di sini kan? Nanti insyaAllah, lama-lama ada la sahabat.” Dia berbicara mesra. Seakan telah 10 tahun berkenalan pula. Membuatkan aku mengangkat wajah memandangnya.

“Iya? Aku macam tidak yakin sahaja aku akan mampu mendapat sahabat di sekolah seperti ini.” Aku tahu bicaraku itu berbau sinis. Tetapi aku tidak dapat mengawalnya. Aku memang begini. Aku sudah dapat menghidu perbalahan yang bakal berlaku antara aku dan dia sebentar lagi.

“Em? Kenapa kau berkata begitu?”

“Iyalah, aku lihat senior-seniornya tidaklah sebaik mana. Bercakap gah sahaja, tetapi akhlak tidak setara mana. Tetap membuli junior juga. Suruh orang bagi salam dulu, tetapi mereka tidak pula mengamalkannya. Bila junior tak beri salam, tahu pula hendak marah.” Aku memuncungkan bibir, dan mendengus menunjukkan kebencian aku yang mendalam.

Ya. Apa yang aku luahkan tadi, itulah yang aku perhatikan sepanjang minggu orientasi ini berjalan. Abah kata, sekolah ini lubuk mutiara, tempat tersimpannya 1001 hikmah. Tetapi entahlah, aku tidak nampak apa yang istimewanya sekolah ini apabila melihat senior-seniornya. Dan sekarang, pelajar di sebelah aku ini menyatakan aku akan mendapat sahabat di sini? Heh. Dalam mimpi sahaja mungkin terjadi.

“Cakap tu baik-baiklah sikit.” Dia mula bersuara tegas.

Ahah! Aku sudah katakan yang tiada siapa akan tahan dengan aku. Orang tidak pernah suka dengan mereka yang bercakap tulus. Orang lebih suka pujian palsu.

“Apa yang aku cakap itu benar, bukan?”

“Iya. Tetapi senior-senior bukanlah para malaikat. Apa yang baik daripada mereka kita ambil, apa yang buruk daripada mereka kita tinggal. Kalau kau tidak puas hati dengan mereka, maka jadilah senior yang lebih baik nanti.”

“Hah, hanya alasan kau sahaja untuk menyembunyikan kesalahan senior-senior di sini. Sekolah ini nyata tidak bermakna apa-apa. Sama sahaja seperti sekolah-sekolah lain. Apa yang ‘the best in the world’nya di sini?” Aku merendah-rendahkan laungan semangat yang sering digunakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini.

Wajah pengawas di sebelahku mula merah.

“Kau ni!” Tangannya mula hendak mencapai bahuku. Tetapi aku dengan langkah tempur didikan Abah, pantas menangkap pergelangan tangannya sebelum sempat menyentuh tubuhku.

Matanya membesar. Mataku membalas. Tangannya sengaja kugenggam sekuat hati. Biar dia terasa sakitnya.

“Sudah, berambus.” Aku menghalau. Tangannya kulepaskan perlahan.

“Haih…” Dia menggeleng kepala. Bangun meninggalkanku.

Aku buat tidak peduli.

Pasti dia tidak akan lagi berhubungan denganku.

Aku pasti, dia amat memarahiku. Mungkin dia akan menceritakan kepada rakan-rakannya akan hal aku. Silap hari bulan, dialah musuh aku yang paling ketat di sekolah ini satu hari nanti. Siapa tahu, bukan?

Heh.



******



Aku memandang papan kenyataan di musolla. Biasanya pada papan kenyataan ini ada pelbagai info terkini berkenaan aktiviti sekolah, juga terdapat fakta-fakta agama dan juga akademik. Aku sekadar tertarik pada bahagian aktiviti sekolah. Aku ingin tahu apa program yang akan diadakan oleh sekolah ini untuk minggu hadapan.

Tiba-tiba aku perasan cuping telingaku disentuh. Sentuhan itu pula dapat kurasakan kemesraannya. Pantas aku menoleh ke belakang.

“Si…”…apa… dan yang baki itu hanya terlekat pada kerongkongku.

Dia. Pengawas semalam. Kini sedang berada di hadapanku, dan tersenyum mesra.

“Tengah tengok apa? Apa yang menarik?” Dia terus menepuk bahuku dan mendekati papan kenyataan. Memandang ke arah jadual yang menunjukkan aktiviti sekolah.

Aku sekadar memandangnya. Kemudian tanpa berminat untuk mengungkit perselisihan semalam, aku sekadar menyilang tangan ke dada dan melihat kembali jadual aktiviti sekolah.

Suasana antara kami hanya diisi dengan bunyi pelajar-pelajar lain melalui tempat itu untuk keluar dari musolla, juga beberapa pelajar yang turut melihat papan kenyataan.

“Nama aku Hariz.” Suaranya menggegar gegendang. Perlahan-lahan aku menoleh. Dia sedang tersenyum. Apakah dia ini terlupa bahawa kami baru sahaja berselisihan semalam?

“Nama kau siapa? Aku cuma tahu yang kau ini adik saudara Umair sahaja. Umair itu sahabat karib aku tahu. Tinggal dia tua setahun sahaja daripadaku.”

Ah, kawan Umair? Umair itu abang sepupuku. Tua dua tahun daripadaku. Satu-satunya keluarga yang aku ada di sekolah ini, juga salah satu sebab mengapa Abah amat yakin untuk menghantar aku berjauhan daripada rumah ke mari.

Hariz di sebelahku kekal tersenyum. Seakan hari semalam tidak pernah berlaku. Dan tadi semasa dia menyentuh cuping telingaku, aku dapat merasakan kemesraan yang amat daripadanya. Aneh. Perasaan apakah ini?

“Haikal.” Aku menjawab perlahan.

“Em?” Kening Hariz terangkat sebelah.

“Nama aku Haikal. Haikal Aizuddin.”

Senyuman penuh cahaya terukir di bibirnya. Segera dia menghulurkan tangan. “Muhammad Hariz.” Dan kami berjabat.

Hangat. Bukanlah ini kali pertama aku berjabat tangan dengan manusia. Tetapi, entah, mengapa aku rasakan jabatan tangan kali ini terasa seperti sesuatu yang tidak pernah kurasai sebelum ini. Dan apakah rasa senang yang terwujud di dalam hatiku ini?

“Makan jom?” Hariz terus memaut bahuku, dan belum sempat aku menjawab, tubuhku telah didorongnya ke rak kasut.

Itulah dia permulaannya.



***************

Masa pantas berlalu. Sedar tidak sedar, Hariz sudah tingkatan lima dan aku telah memasuki tingkatan empat. Hari-hari nyata berlalu tanpa menunggu langkahan insan. Sama ada manusia itu yang memecut untuk menewaskan waktu, atau manusia itu akan ditinggalkan.

Persahabatan aku dan Hariz juga bertambah erat. Kami ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan. Siapa yang percaya bahawa awal pertemuan kami adalah pergaduhan. Tetapi entah mengapa seperti aku sahaja yang mengingati perkara itu. Hariz, dia langsung tidak pernah menimbulkan kenangan yang satu itu. Mungkin sahaja dia memang tidak pernah ambil peduli akan perkara itu? Jika benar, nyata dia adalah manusia yang ajaib.

Empat tahun yang telah berlalu, diisi oleh dengan keeratan kami. Terlalu banyak kenangan yang dikongsi bersama. Terlalu banyak perkara yang dilalui berdua. Kemasukan aku sebagai ahli Badan Pengawas Sekolah tambah mengeratkan hubungan kami, apatah lagi apabila aku diletakkan pada Biro yang sama dengan Hariz. Lebih menakjubkan, sepanjang aku menjadi pengawas, kami tidak pernah ditukarkan ke biro lain. Kerja-kerja bersama di dalam pengawas, kursus-kursus kepimpinan, program-program, semuanya menjadikan hubungan kami bertambah erat.

Kami turut bersama-sama merancang pelbagai program sampingan buat diri kami sendiri, seperti berpuasa sunat bersama-sama dan tidur di musolla untuk qiamullail bersama-sama.

Nyata empat tahun yang telah berlalu, adalah empat tahun yang indah. Aku seakan dikurniakan seorang abang oleh Allah SWT. Dan kehadiran Hariz lebih dari sekadar memenuhi kekosongan ruang Abang itu, bahkan dia jugalah qudwah kepadaku. Banyak mengajarku akan Islam yang sebenar daripada akhlaknya, mendidik aku dengan kesungguhannya di dalam kerja, dan sentiasa di sisi apabila tiada orang lain bersama.

Percaya atau tidak, yang mampu bertahan dengan kelancangan dan kekasaranku, hanya Hariz seorang. Aku masih ingat ketika aku mengamuk dan mengoyakkan komik mereka di pejabat asrama, mengakibatkan beberapa rakanku di dalam pengawas tidak senang dengan kemarahanku ketika itu, hanya Hariz sahaja yang pergi kepadaku dan bertanya apa yang sebenarnya telah berlaku.

“Kal.” Suara Hariz menyapa. Dia yang baru sahaja menyalin baju tidur, mampir ke katilku dan duduk.

“Apa?” Aku menggerakkan kepala sedikit.

“Ada masalah apa?”

Aku tertawa. “Kenapa? Muka aku ni muka ada masalah kah?” Tiba-tiba sahaja tanya ada masalah.

“Tak adalah. Semalam, bila balik daripada slot terakhir, kau terus sahaja tidur. Tak sembang-sembang macam biasa pun.” Hariz merujuk kepada Program Muhasabah Islami yang dijalankan oleh seorang motivator jemputan sekolah semalam.

Mata aku membesar. Hariz berkerut dahi memandangku. Kemudian tawaku meletus.

“Hei, aku serius ni.” Dia menolak bahuku.

“Entahlah. Aku tak ada sebab pun. Mungkin letih kut. Tak fikir apa, balik terus lelapkan mata.” Aku menggeleng. Tawaku masih tersisa.

“Serius ni?” Hariz seperti tidak puas hati.

“Ya Allah, abang aku seorang ni, sungguh.” Aku mengangkat tangan, gaya bersumpah. Memang sungguh aku tidak ada apa-apa. Bahkan aku sekarang ini masih tergeletek dengan Hariz yang amat menjaga aku hinggakan perubahan sekecil itu pun disangkanya aku punya masalah. Hariz, Hariz. Aku menggeleng lagi.

Hariz menghela nafas dan tersenyum. “Baguslah macam itu.” Dan senyuman Hariz itu tidak akan mampu aku cari di mana-mana lagi di dunia ini. Aku pasti. Membuatkan aku tersenyum sama.

“Tak lama lagi dah nak habis sekolah dah.”

“Em, kau pun nak ambil SPM. Studi lebih sikit, bro.” Aku menumbuk lembut bahunya.

“Tak risaulah studi. InsyaAllah, aku boleh.”

“Mestilah, kalau tak penatlah aku doa untuk kau hari-hari.”

Senyuman Hariz terkoyak lebih lebar. Mungkin terkenangkan sesuatu apabila aku nyatakan perihal doa. Kami berdua sebenarnya punya kegemaran yang aneh apabila berdoa. Kami jarang berdoa pada masa yang sama. Apabila aku yang berdoa dahulu, maka Hariz akan merapatiku dan berbisik kepada telingaku:

“Doakan aku biar cemerlang dalam pelajaran, dimurahkan rezeki, dikekalkan keimanan, dan dapat isteri yang solehah.”

Dan kemudian apabila Hariz pula yang berdoa, aku akan merapatinya dan berbisik ke telinganya, menyatakan perkara yang sama.

Hampir setiap kali, jika punya peluang, itulah yang akan kami lakukan. Mungkin itulah yang menjengah ingatannya, menyebabkan dia tertawa.

“Tahun depan aku dah tak ada. Kau ok ke?”

“Ha? Haha.” Keningku terangkat sebentar, sebelum tawaku yang telah terhenti tadi bersambung semula.

“Come on la Hariz. Ingat aku ini apa? Pelajar darjah satu?”

“Yalah, manalah tahu kan. First time kut kita berpisah ni.”

“Banyak kali dah. Entah berapa kali dah cuti kita ni, bukan balik rumah yang sama pun.” Aku menjelir lidah sedikit ke arahnya. Berseloroh. Hariz tertawa kecil.

“Kau tahu apa maksud aku kan?”

Tawaku mula surut. Perlahan-lahan aku mengangguk. “InsyaAllah, aku survive. Come on la Bang, aku dah 16 tahun. Tahun depan 17 tahun.”

“Baguslah.” Hariz memandang hadapan. Wajahnya memaparkan kelegaan. Dan entah mengapa, aku amat tersentuh. Hariz nyata amat mengambil berat akanku. Entah di mana lagi hendak aku cari sahabat seperti dia? Mungkin tidak akan aku jumpa di mana-mana.

“Hei, janganlah sedih sangat. InsyaAllah, Allah akan susun yang terbaik punya untuk kita. Aku pasti yang itu. Kalau ada apa-apa, insyaAllah aku ada untuk kau.” Aku menepuk belakang Hariz.

“InsyaAllah, aku ada untuk kau juga.” Dia menepuk belakangku pula.

Kami berdua tersenyum bersama.

“Bila-bila masa, di mana jua.” Kalam itu, sama-sama kami ucapkan, serentak. Membuatkan kami berdua kemudiannya sedikit tersentak. Kemudian tertawa bersama. Tidak menyangka kami akan menyatakan perkara yang sama, bersama-sama.

Kami diam sebentar. Mata Hariz menentang mataku.

“Uhibbukafillah.” Sekali lagi serentak.

Dan tawa mengisi malam kami itu.



*************



Nyata, susunan Allah itu amat ajaib. Kita akan lebih merasakan ajaib, apabila susunan Allah itu menepati hajat hati kecil kita, namun kita tidak pernah menukilkannya langsung di dalam bentuk lafaz permintaan. Sekurang-kurangnya, itulah yang aku rasai apabila mengetahui Hariz memasuki universiti yang hampir dengan rumahku.

Menjerit Hariz ketika memberitahu bahawa dia mendapat universiti itu. Aku sendiri hilang bicara apabila mengetahuinya. Sekadar mampu menyatakan bahawa aku amat gembira juga. Namun aku tidaklah terlalu lama mampu merasai keindahan kewujudan Hariz di perkarangan rumahku, memandangkan aku menyambung pengajianku semula ke tingkatan enam di sekolah menengahku dahulu.

Tetapi memandangkan aku berada di dalam tingkatan enam, maka aku punya lebih kelonggaran berbanding pelajar biasa. Telefon bimbit contohnya, bukanlah satu benda yang haram untuk kubawa dan guna pakai. Maka hubungan dengan Hariz kekal erat dengan kemudahan teknologi yang satu itu.

“Assalamu’alaikum.” Suaranya serak kedengaran.

Hatiku bergetar spontan. Kenapa ni? “Waalaikumussalam. Bang? Sihat tak tu?” Abang atau Bang, sudah menjadi panggilan biasaku kepadanya. Walaupun aku biasa juga memanggilnya Hariz.

“Aku tengah down ni Kal.”

“Eh? Kenapa ni?”

Dan aku duduk bersila di atas bangku kelas mendengar luahannya. Rupanya pensyarahnya telah memberikan markah yang teramat rendah kepadanya, walaupun dia amat yakin dia telah melakukan yang terbaik. Bahkan presentationnya adalah yang mendapat pujian semua orang di dalam kuliahnya. Dia merasakan bahawa pensyarahnya itu telah berlaku tidak adil kepadanya.

Aku yang tidak menjejak ke universiti kerana memilih untuk menyambung tingkatan enam ini, tidak mampu membayangkan apa yang Hariz lalui, namun dapat juga memahami perasaannya yang diperlakukan demikian.

“Sabar bang, sabar.”

“Aku tengah sabar la ni.” Kedengaran esak di ganggang. Hatiku pula menjadi rawan.

“Allah nak uji ni. InsyaAllah, ada la tu kebaikan lepas ini.” Aku cuba memujuk.

“Aku faham yang itu. Tapi sedihlah.” Aku seakan dapat melihat air matanya sedang berjejesan walaupun dia tidak berada di hadapanku. Ya Allah, pedihnya.

“Kau rehatlah dulu ya? Dah tengah malam dah pun ni.” Aku memanjangkan leher menjengah luar, gelap. Dataran sekolah juga lengang tanpa ada pelajar yang berjalan di atasnya. Mungkin semua sudah pulang ke asrama dan bertemankan selimut masing-masing.

“Em,” Suara Hariz lemah. Perit aku mendengarnya.

“Hariz, insyaAllah ada hikmahnya semua ini.” Sekali lagi aku berpesan. Entah, aku tidak ada kalam yang lebih baik. Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Sebab itu sahaja yang aku percaya. Allah ini, dia tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya.

“Dan kau kalau apa-apa, jangan tak call aku. Call aku. Ok? Ok?” Aku bertegas mengingatkan.

“Em, insyaAllah.”

Senyap sebentar. Hening malam mengisi suasana. Aku sendiri mati bicara. Kasihan Hariz.

“Hei,” Tiba-tiba suara serak Hariz kedengaran.

“Apa?”

“Terima kasih.”

“Ala, aku bukan tolong apa pun. Tolong dengar sahaja. Apa la yang aku bantu kau?” Aku menghela nafas. Rasa bersalah pula tidak mampu membantu apa-apa. Sedangkan aku tahu sahaja, yang aku memang tak mampu membantunya apa-apa.

“Tak, kau dengar aku punya luahan ini pun, bantuan sebenarnya. Terima kasih Haikal, sebab ada di sisi aku.”

“Kau tahu tak Hariz, kalaulah terjadi satu masa nanti, seluruh dunia telah tinggalkan kau, sampai nanti mungkin isteri dengan anak-anak pun tinggalkan kau, kau agak-agak siapa manusia yang akan kekal berada di sisi kau masa itu?”

Hening malam kembali mengisi buat seketika.

“Aku.” Aku menepuk dada dengan yakin sekali. “Aku ada di sisi kau masa itu.”

Dan aku kedengaran esak dari corong. Aku seakan melihat air matanya menitis jatuh. Tetapi kali ini aku dapat merasakan dia sedang tersenyum.

“Take care bro. Uhibbukafillah.”

“Uhibbukafillah. Thanks.”

Dan entah mengapa, dengan merasakan bahawa Hariz telah tersenyum itu, hatiku yang tadinya gundah menjadi tenang semula.

Ya Allah, kasihanilah sahabatku itu sesungguhnya aku mengasihaninya. Sayangilah sahabatku itu sesungguhnya aku menyayanginya. Dan aku amat tahu kasihMu lebih besar melebihi kasihku, dan sayangMu lebih luas berbanding sayangku, maka kepada Kau sahajalah aku meminta kasih dan sayang untuknya itu.

Aku meraup wajah. Hariz itu ibarat nyawaku.

Mustahil dia akan kubiarkan kesedihan begitu.



**********



Tamat tingkatan enam, aku berjaya menyambung pengajian ke luar negara. Timur Tengah. Mengambil pengajian agama. Di sini, kehidupan aku berubah memandangkan aku banyak diharapkan oleh persatuan melayu untuk melakukan itu dan ini. Maka hubungan aku dan Hariz sedikit terganggu dari segi kekerapan komunikasi. Kami sudah jarang berhubung. Aku pula jarang muncul di internet. Boleh dikira dengan sebelah jari sahaja bilangan komunikasi kami pada tahun pertama aku di Timur Tengah.

Namun cinta aku terhadap sahabatku nan seorang itu kekal membara di hatiku. Kadangkala aku memaki kesibukanku kerana tidak mampu meluang banyak masa dengannya. Entah berapa kali aku dapati offline message terisi dengan mesej bertanya khabar daripadanya. Namun aku tidak sempat melayannya. Sungguh aku rasa bersalah.

Kini sudah masuk tahun yang ketiga. Pelajaranku semakin sukar. Tinggal dua semester lagi, dan aku akan menamatkan pengajianku di sini. Kerja-kerja kursus bertimbun di kanan dan kiriku. Belum dikira urusan persatuan lagi yang masih berada di sekelilingku. Aku hampir sahaja tidak punya masa buat diriku sendiri, apatah lagi untuk orang lain.

Dan pada saat penuh kritikal inilah, Allah menguji aku.

Duit Persatuan hilang di tangan aku. Jumlahnya hampir menjangkau RM10,000 ringgit. Kewarasanku hampir sahaja terpadam apabila mendapati wang yang sepatutnya aku hendak masukkan ke dalam bank itu hilang daripada almariku.

Seluruh pelajar melayu di sini gempar mendengar berita itu.

Serta merta aku dicemuh dan menjadi bahan makian ramai. Tidak pandai menjaga duit, lalai, cuai, semuanya dihumbankan kepadaku. Sedangkan aku telah berusaha menjaganya sepenuh jiwa dan ragaku. Aku sendiri tidak pasti bagaimana duit itu boleh lesap begitu sahaja. Hendak menuduh ahli rumahku yang lain, aku tidak sampai hati memandangkan mereka selama ini baik-baik sahaja denganku.

Selepas beberapa hari, tidak cukup dengan segala makian tadi, aku dituduh pula ingin mencuri wang tadi. Kepimpinan persatuan turut mempunyai syak wasangka yang sama. Aku pula memang tidak punya bukti kukuh untuk menafikan perkara itu. Tinggal pertahanan diriku setakat ini adalah, jika benar aku yang mencuri wang tersebut, pastinya aku akan membelanjakannya, dan apa yang aku belanjakan itulah yang patut menjadi bukti. Namun, setakat ini, perbelanjaanku adalah seperti kebiasaanku selama ini. Maka nyata bukan akulah pencurinya.

Tetapi masyarakat melayu di tempat aku belajar tidak mampu menerima alasan itu. Kata mereka, zaman sekarang sudah maju. Sekiranya aku simpan wang itu ke dalam bank, maka cukup beberapa waktu aku akan mendapat faedahnya yang lumayan. Aku menafikannya, dengan menunjukkan kad bank aku dan menyuruh mereka memeriksanya sendiri. Tetapi ada pula suara yang menyatakan bahawa, mana mungkin aku hendak menunjukkan kad bank yang wujud di dalamnya duit persatuan itu.

Aku mati akal. Tidak mampu mempertahankan diri. Kini, laungan untuk menggantikan duit pula kedengaran. Boleh dikatakan hampir kesemua pelajar melayu yang wujud di sini membenciku sekarang, menyebabkan tiada yang menyokongku. Jika ada yang kasihan pun, tiada yang mampu bangkit membantuku. Takut nanti ditelan badai kemarahan orang ramai, dan lemas di dalam lautan kebencian mereka.

Dunia seakan menjadi sempit.

Sangat-sangat sempit.

RM10,000, aku mana ada duit sebanyak itu?

Berhari-hari aku tenggelam di dalam kesedihan. Beberapa hari itu jugalah aku tidak pergi ke kelas. Aku tidak dapat menumpukan perhatian untuk menghabiskan kerja-kerja aku yang bertimbun, juga aku tidak mampu hendak berjalan di tengah orang ramai yang akan menghina dan mencercaku.

Aku sekadar berbaring, termanggu di atas katil mengenangkan nasib diri, ditemani air mata yang berjejesan setiap masa. Sejadahku habis basah di tempat sujudku, begitu juga bantal.

“Kalau aku ini aku yang dahulu, habis mereka semua itu. Dan sedih ini tidak akan hadir.” Aku mengenang kembali diriku yang amat keras di sekolah menengah dahulu. Sekarang, entah mengapa, cercaan dan makian terasa amat menusuk kalbu. Sedang dahulu aku kebal sahaja dengan semua itu. Aku benar-benar rasa bersalah dengan kehilangan wang itu, tetapi bukanlah aku tidak menjaganya dengan baik. Laci telah dikunci dengan baik, bahkan aku telah bercadang untuk pergi ke bank awal pagi sebelum aku perasan duit itu telah hilang.

“Ya Allah, apakah ini?” Aku sakit kepala. Tertekan.

Ketika inilah, telefon bimbitku berbunyi. Siapa? Orang persatuan yang nak minta aku ganti duitkah? Perlahan-lahan telefon bimbit itu aku capai. Kulihat nama yang tertera.

Hariz.

Keningku terangkat sebelah. Guna telefon? Tak mahalkah telefon dari Malaysia ke mari?

Segera aku membuka lipatan telefon bimbitku.

“Assalamu’alaikum, Hariz?”

“Waalaikumussalam. Kal. Apa khabar?”

“Sihat. Kau?” Aku menjawab datar. Cuba menyembunyikan masalah.

“Aku sihat sahaja.”

“Kenapa telefon ni? Tak mahal? Kenapa tak guna internet sahaja?” Aku bertanya.

“Aha, aku ni sebenarnya dengar kau ada masalah.”

Aku diam. Berita itu tersebar sampai ke Malaysia kah? Hem. Zaman tanpa sempadanlah katakan.

“Tak nak kongsi?” Hariz bertanya.

“Seganlah, kongsi masalah. Aku ni nak kongsi benda gembira sahaja dengan kau.” Aku cuba mengelak.

“Haikal, aku ni, kau buat lawak bodoh pun aku suka nak dengar. Apatah lagi benda sedih yang memerlukan seseorang untuk berada di sisi kau, Haikal. Mesti aku lagi patut dengar kan?” Aku seakan mampu melihat senyumannya di balik sana. Membuatkan aku tersengih. Dan perlahan-lahan sengihanku pudar, dan tubuhku menggeletar. Aku menangis, hingga bahuku terenjut-enjut.

Aku ceritakan segalanya kepada Hariz. Apa yang berlaku kepadaku, dan bagaimana masyarakat melayu di sini melayanku.

“Tiada siapa percaya dengan aku, Hariz. Semua orang tinggalkan aku. Aku tension. Aku dah la tengah bertimbun dengan kerja kursus. Periksa pun dah dekat.” Aku menceritakan semuanya.

“Hem, bertenang, bertenang.” Hariz menenangkan aku.

“Aku tengah usaha la ni.” Aku menghela nafas.

“Ha, sekarang, apa kata kau pergi ke bank.”

“Eh?”

“Sekarang, pergi ke bank. Keluarkan duit untuk bayar balik wang yang hilang itu.”

“Aku mana ada duit Hariz. Kalau ada duit, dah lama aku bayar balik. 10,000 ringgit bang, bukan 10,000 rupiah.”

“Iyalah, tengoklah dulu dalam bank. Mana tahu ada RM10,000.” Hariz tetap bertegas dengan suruhannya. Aku dapat merasakan kewujudan senyuman dalam bicaranya.

Aku segera bersiap dan turun dari bangunan rumah sewaku, kemudian bergerak pantas menuju ke bank yang berdekatan. Aku periksa baki terkini akaun simpananku. Mataku membesar.

RM11,492. Angka itu menjengah tubir mataku.

Segera aku telefon semula Hariz.

“Mana kau tahu…”

“Aha, aku baru sahaja doa kepada Allah, agar turunkan wang daripada langit untuk kau.” Hariz tertawa.

“Banyaklah kau punya daripada langit. Ini duit kau ya Hariz?”

Hariz terus tertawa. “Em, itu duit aku. Kau guna dahulu. Aku sebenarnya simpan duit itu untuk kahwin. Tetapi dah kau ada masalah ini. Aku dahulukannya kepada kau.”

Mataku kembali berair. Hariz, Hariz.

“Kenapa sampai macam ini Hariz? Mana mungkin aku boleh terima ini? Aku nak bayar semula kepada kau bagaimana?”

“Kalau kau tak dapat bayar semula, maka tak perlu bayar. Aku tak kata pun kau kena bayar semula, bukan?”

Aku hampir sahaja ternganga mendengarnya. “Hariz!”

“Terimalah. Ambil lah. Kita boleh kumpul duit lagi. Dan belum tentu kau tidak jumpa semula RM10,000 kau yang hilang itu. Percayalah, apa yang berlaku ada hikmahnya daripada Allah SWT. Kau tidak ingat apa yang kau pesan semasa aku kejatuhan dahulu?”

Aku terkesima sebentar. Teringat.

“Ada hikmahnya semua ini. Dan aku dah nampak salah satu hikmahnya sekarang.”

“Apa dia?” Aku kehairanan.

“Allah nak ukhuwwah aku dengan kau, meningkat satu tahap lagi.” Sekali lagi, aku seakan dapat meihat Hariz tersenyum di sebelah sana.

Air mataku mengalir deras. Terenjut-enjut bahuku di hadapan mesin pengeluar wang. Aku perasan keadaanku itu menjemput pandangan aneh daripada beberapa orang arab yang berada di sekelilingku.

“Hei Haikal.”

“Ya?”

“Kalaulah nanti terjadi satu saat, seluruh dunia hilang kepercayaan dengan kau, bahkan memerangi kau, hatta mungkin waktu itu keluarga kau turut bertindak dengan tindakan yang sama, kau tahukah siapa manusia yang akan berada di sisi kau?”

Aku tergamam. Dadaku bergetar kuat. Aku tahu jawapannya.

“Aku. Aku ada di sisi kau pada saat itu.”

Dan air mataku mengalir, namun pada bibirku terukir senyuman.

Ya Allah. Apakah hadiah yang lebih besar daripada nikmat iman dan Islam yang Kau berikan kepadaku, selain daripada Hariz ini?

Tiada, Ya Allah, tiada.

Saat-saat aku hampir sahaja berputus asa dengan Kau, dialah yang kembali menyambungnya. Siapalah sahabat yang lebih baik, daripada sahabat yang apabila bersamanya, dia mengingatkan aku kepadaMu, Ya Allah?

MasyaAllah. MasyaAllah.

“Haikal,”

“Em?”

“Take care. Uhibbukafillah.”

“Thanks. Uhibbukafillah.”

Dan hidupku bercahaya semula, serta tidak pernah lagi kegelapan muncul dalam kehidupanku selepas hari itu berlalu.



**********



Bunyi ombak memukul pantai membawaku kembali ke alam realiti. Rupanya aku terimbas kembali segala memori dahulu. Dari perkenalan pertama, hinggalah kepada apa yang menjadikan Hariz itu tidak dapat ditandingi hatta oleh nyawaku sendiri. Aku tersenyum, menggeleng sendiri.

“Weh, isteri kau kat belakang tu.” Bahuku ditolak lembut.

Aku cuba mengimbang semula tubuhku. Memandang manusia yang menolakku itu sebentar, sebelum memandang ke belakang. Isteriku sedang melayan anakku, sambil bersembang mesra dengan seorang lagi perempuan yang turut bersama anaknya.

Kemudian aku memandang manusia di sebelahku itu semula.

“Kenapa tiba-tiba bagitahu yang isteri aku ada di belakang?”

“Dah kau tersenyum sorang-sorang. Teringat siapa lagi kalau bukan si buah hati?” Dia mengangkat kening dua kali. Gaya nakal.

Aku tertawa. “Aku sebenarnya teringat kaulah, Hariz.”

Tawa Hariz meletus sama. “Senget ke apa ha? Aku ada kat sebelah kau je ni.”

Aku menggeleng. “Banyak sudah kita lalui ya?”

“InsyaAllah, banyak lagi kita akan lalui.”

“Harap Allah membenarkan kau terus berada di sisiku sahabat.” Aku memandang Hariz.

Dia tersenyum. “Semoga Allah juga membenarkan kau untuk terus berada di sisiku, sahabat. Sampai ke syurga.”

Aku turut mengukir senyuman.

“Sampai ke syurga sana.”

Kami sama-sama melepaskan pandangan ke horizon.

Hati lapang. Jiwa tenang.

“Hei,” Tiba-tiba kami serentak bersuara.

Tertawa sebentar kami dibuatnya. “Macam mana boleh sama pula ni.” Serentak lagi. Kami berpandangan sebentar, tertawa lagi.

“Uhibbukafillah.” Dan sekali lagi, serentak juga.

Dan tawa mengisi ruang antara kami berdua.

Ya Allah, terima kasih atas ukhuwwah ini.

Moga kekal ke syurgaMu nanti.



- Simfoni Cinta-



SYUKRAN FOR READING

No comments: