Tuesday, 24 September 2013

KEM REMAJA SINERGI 4.0 (SABAH)





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum warahmatullah.. 
Alhamdulilah Kem Remaja Sinergi kembali lagi !! 
"sejak pengelibatannya, tahun ini adalah musim ke-4 Kem Remaja Sinergi (KRS 4.0)"

Apa yang menarik tentang KRS 4.0, peserta yang bertuah bakal menerima hadiah lumayan, iaitu sebuah gadget tablet yang menarik.!!


Nak Daftar secara Online? 
Sila ke website KRS : KRS SABAH
Pendaftaran Online KRS 2013 (Lelaki) : Borang L
Pendaftaran Online KRS 2013 (Perempuan: Borang P

Sebarang pertanyaan boleh hubungi :
En.Zulhafiz : 01129927024
Cik Saidah: 0138784184


**********************

Bismillah.. 
Okay, adik-adik saya sarankan ikut KRS ni, kenapa? sebab kem ni best! SUPER BEST! tidak tipu. Alhamdulillah, saya dah ikut 2kali bturut2. 2011 & 2012 :) Kem ni memberi banyak perubahan buat kita. Disana kita boleh dapat banyak Ilmu, dapat rakan-rakan baru dari seluruh Sabah.Inshaa Allah. Tak rugi ikut, bila dah ikut..macam tidak mau pulang tau :) And yang seronoknya lagi, tempat kem tahun ini berbeza dari sebelum ini, masa saya join kem ni, ia bertempat di ODEC,UMS. Tahun nie, di Hutan Lipur. Pastinya banyak aktiviti menari yang menanti adik-adik ,kakak-kakak semua!! ^_______^ Apa lagi? JOMMM!!

KRS 2013 

SYUKRAN FOR READING

Friday, 20 September 2013

Mata Lalat dan Mata Lebah




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


“Janganlah jadi seperti lalat yang hanya nampak benda-benda busuk dan kotor sahaja, tapi jadilah seperti lebah yang selalu nampak benda-benda cantik dan wangi.” – Ustaz Kazim Elias

Lalat merayau-rayau mencari sesuatu untuk disantap, tidak kira apa yang terdedah di situlah lalat datang bertandang. Najis, makanan basi, mahupun ikan busuk semuanya lalat hinggap. Apa yang penting dapat makanan.

Lebah merayau-rayau di sebalik pepohonan mencari bunga-bunga segar yang kembang segar di waktu pagi.

“Cantik sungguh bunga matahari, bunga ros dan macam-macam bunga lagi yang dihinggapnya. Ah, mencari madu rupanya.”
Sudahlah hinggap di tempat yang cantik, dapat manisan pula. Indahnya kehidupan si lebah.


Pernahkah kita fikir kenapa Allah ciptakan kedua-dua makhluk ini?

Keduanya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang boleh dianggap unik. Jika mata kita diumpamakan seperti mata lalat dan mata lebah, maka yang mana satu jadi pilihan sahabat sekalian?

Pastinya lebah, bukan?

Orang yang tidak baik dan berhati busuk, matanya samalah seperti mata lalat. Sentiasa mencari benda-benda yang buruk, negatif dan tidak sedap dipandang mata. Ada saja yang tak kena pada pandangannya.

Manakala orang yang baik dan optimis, pastinya umpama lebah. Sentiasa mencari kebaikan dalam hidupnya. Walaupun sesuatu perkara tidak baik yang jelas pada pandangan matanya namun pastinya ia akan tetap jadi baik dengan sifat husnuzon yang ada padanya. Pendek kata semua perkara nampak baik dan indah.


Mari jadikan mata zahir dan mata hati kita seperti lebah yang melihat semua benda yang baik-baik sahaja. Semua akan nampak baik jika kita husnuzon (bersangka baik). Setiap kejadian yang baik mahu pun buruk ada sebabnya yang tersendiri. :)


Ilmu : Husnuzon (Bersangka Baik)





SYUKRAN FOR READING

Thursday, 19 September 2013

Syukur, Kini Aku Menutup Aurat!



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Detik waktu yang semakin hari semakin membuka mata aku yang sedikit sepet ini untuk melihat betapa indahnya wanita yang menutupi auratnya dan melabuhkan pakaiannya di hadapan ajnabi. Aku masih samar dan hampir setahun lebih mencari identiti diri dengan membandingkan diri aku dengan wanita-wanita muslimah yang lain.
“Ya Allah, bagaimanakah dia boleh berpakaian menutup aurat begitu, sedangkan aku masih berpakaian membalut aurat?”
“Aku nak pakai cantik-cantik la, biar jejaka-jejaka hensem melihat dan mengetahui kewujudan aku.”
“Aku nak hias elok-elok la sikit sebab nak jumpa kekasih hati aku.”
“Eh, dia tu pakai baju besar-besar tak rimas ke?”


Dan banyak lagi kenyataan dan persoalan yang dituturkan dalam minda dan hati aku. Astaghfirullahalaziim… begitu kolot pemikiran aku.

Aku pernah terfikir untuk mencuba berubah dan berhijrah menutup aurat dengan sempurna setelah masuk ke alam kampus. Namun, aku terlalu mengikut kata hati yang kadangkala membuat keinginan berubah itu menjadi mati.

Fikiran aku terus berputar mengatakan bahawa, jika aku ingin berubah untuk menutup aurat dengan sempurna, seluar jeans yang baru dibeli macamana? Baju-baju kesayangan tak dapat dipakai lagi, dan sewaktu dengannya. Tanpa aku menyedari, Allah telah membuka pintu hati aku secara perlahan-lahan, memberi taufik dan hidayah-Nya untuk mengubah cara berpakaianku seperti wanita muslimah yang ingin mencari syurga yang abadi.


Dan aku yakin, segelintir kaum hawa yang menangguh untuk berubah adalah disebabkan tidak bersedia untuk beristiqamah, kerana perangai yang kurang elok, dan rasa sayang terhadap pakaian yang baru dibeli, mahal dan cantik.

Wahai kaum hawa, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk menutup aurat dengan sempurna, berkorbanlah walau kalian sayang dengan pakaian mahal, sendat, cantik dan seumpama itu. Percaya dan yakinlah bahawa, pengorbanan itu tidaklah sia-sia melainkan pelbagai limpahan ganjaran yang akan Allah hadirkan nanti.

Memang ramai yang terfikir :


“Tutup aurat je, perangai tak tahulah; lebih daripada setan.”
“Harap je tutup melitup, perangai tak senonoh, ketawa berdekah-dekah.”
“Kalau aku nak berubah pakai elok-elok, aku nak ubah perangai dulu.”


Wahai sekalian sahabat-sahabat, perangai susah nak berubah. Kalau la nak tunggu perangai berubah dulu, kita tak tahu bila la nak dapat tutup aurat seperti garis panduan Islam. Buka minda kita, cuba berfikir secara logik, sekiranya kita cuba untuk menutup aurat dengan sempurna, dengan izin Allah, secara perlahan-lahan perangai yang buruk tadi akan turut berubah ke arah yang lebih baik. insyaAllah. Sama-sama kita doakan.

Hadirnya aku di sini, ingin cuba membuka mata kaum hawa yang aku cintai, sedarlah kita hidup cuma sementara, mati tak tahu bila, ajal masa mana pun boleh tiba. Berubahlah sebelum terlambat, berkorbanlah kerana pengorbanan itu harus dikorbankan.

Untuk apa?? Untuk menggapai redha Ilahi.

Untuk siapa?? Untuk Pencipta kita yang seharusnya kita patuhi.

Mengapa?? Kerana itu dituntut dalam Islam agama yang kita anuti.

Dan mengapa?? Kerana kita sememangnya hamba ALLAH, yang seharusnya minda dan hati selalu ingat Ilahi.


Alhamdulillah aku berubah kerana Allah. Allah telah hadirkan seseorang sahabat kepada aku yang dulunya berpakaian ‘rockers’ dan secara drastiknya dia memakai tudung bulat labuh. SubhanAllah, aku mengagumi kekuatan yang Engkau berikan kepada dirinya.

Lantas mindaku berputar ligat berfikir, “Dia boleh berubah, kenapa tidak aku?”

Aku mengumpul segala kekuatan, berubah kerana Allah, Allah lah yang menciptakan sekalian makhluk, kenapa tidak kita berkorban kerana-Nya? Sungguh banyak nikmat yang diberikan, tidakkah kita rasa betapa sayangnya Dia pada kita.

Diri ini bukanlah sempurna sangat tapi mencuba untuk menyampaikan apa yang Allah suruh dan aku cuba untuk menyampaikan dakwah walaupun hanya sedikit. Sudah jelas dalam Al-Quran, Allah menyuruh hamba-Nya menutup aurat, bukan membalut aurat.

“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi, pakaian takwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.” (Al-A’Raf: 26)

Sekiranya kita sendiri mengkhianati diri kita, dan membuat kezaliman terhadap diri kita, maka siapa akan menolong kita nanti.


“…Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanyaakan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup duniawi, selanjutnya kepada kamilah kembalimu, kelak akan kami kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Yunus: 23)

 Marilah berubah wahai kaum hawa. Tutuplah aurat dengan sempurnya. tak usah lah nak buka sini buka sana.


Dan… Al-Quran tidak ada keraguan padanya. Takutlah pada azab Allah. Cuba tutup aurat dengan sempurna, insyaAllah akan ada perubahan yang baik terhadap sesuatu yang lain.

“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”
(Al-Baqarah: 2)

Jom sama-sama kita berubah! Ini kalilah! ^__________________^



SYUKRAN FOR READING

Sunday, 1 September 2013

Aku Terima Lamaran Pemilik Tudung Labuh




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




“Assalamualaikum umi.”



Wajah ceria umi dilihat dalam alam maya dengan sayunya. Skype menjadi penghubung Hasanah dan ibunya yang berada jauh di mata tapi dekat di hatinya sepanjang masa. Raut wajah ibunya ditatap dengan penuh syahdu. Ingin disentuh wajah itu namun jarak memisahkan mereka.



Kini telah masuk tahun keempat Hasanah melanjutkan pelajaran di bumi Mesir. Kesibukan menimba ilmu membuatkan Hasanah tidak sedar masa berlalu dengan pantasnya. Ilmu perubatan yang dipelajari semakin hari semakin bertambah. Sudah menjadi cita-cita Hasanah sejak tingkatan empat lagi hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran ini. Jika dihitung gaji yang agak lumayan, berbaloilah dengan kesibukan seorang doktor. Namun, bukanlah wang ringgit yang dipandang tetapi matlamat berbakti kepada orang ramai tersenarai dalam 100 impiannya. Walaupun pada awalnya masalah kesihatan menjadi punca dia teragak-agak untuk menceburi bidang ini, namun Allah sebaik-baik perancang. Hasanah lebih suka berserah kepada Allah setelah berusaha dan berdoa.



“Waalaikumussalam. Adik sihat? Belajar macam mana sekarang?”



Tahulah Hasanah soalan itu memang akan keluar daripada mulut seorang ibu. Bimbang tentang keadaan yang jauh di mata walaupun telah sekian lama merantau. Ibunya lebih suka bertanya tentang pelajarannya terlebih dahulu. Mungkin kerana hati ibu sudah memahami, pelajaran adalah kunci utama tahap kesihatan anaknya itu. Apabila Hasanah tertekan dalam pelajaran, mulalah kesihatan diabaikan. Sikap yang dikatakan agak tidak matang ini memang menguasai dirinya sejak sekolah rendah lagi. Pantang keputusan peperiksaannya menurun, pasti akan ditingkatkan ulangkajinya. Dirinya terasa tercabar jika tanggungjawab sebagai seorang pelajar diabaikan dengan mudahnya.



“Alhamdulillah, baik-baik semuanya. Baru lepas habis test. InsyaAllah dah buat yang terbaik, serah dekat Allah sajalah. Orang rumah semua okay? Kak Long dengan Kak Ngah ada balik?”



“Semua okay. Kak Long baru balik hari tu. Dia ambil cuti seminggu sebab nak rehat. Dah mengandung tiga bulan katanya. Kak Ngah balik minggu depan. Nak bincang mengenai perkahwinannya terus.”



“Wah, lepas ni dah ada yang panggil Mak Su. Seronok, seronok. Tahniah lah. Kak Ngah pilih ke umi abah pilih? Hehe.”



“Dia pilih sendiri lah. Zaman sekarang orang cari sendiri lah adik. Adik dah ada calon belum?”



“Aik, pilih sendiri? Adik nak suruh umi abah carikan. Malas lah nak cari. Banyak lagi kerja lain nak buat.”



Senyuman manis terukir di bibir Hasanah. Siapa sangka disebalik kesibukan menimba ilmu, hatinya tetap dimiliki oleh hamba Allah yang telah lama tidak dihubungi. Hasanah lebih memilih untuk menjauhkan diri daripada buah hatinya itu kerana tidak ingin mengganggu tahap keimanan seorang hamba yang sedang bermujahadah. Jauh di sudut hatinya, sudah mengalah mengharapkan insan yang telah bergelar seorang hafiz al-Quran itu. Dia bukanlah perempuan yang baik-baik sebaik seorang hafizah al-Quran. Dia juga bukanlah sepintar hafizah yang dapat menghafal kalam-kalam Allah yang Teragung itu. Walaubagaimanapun, Hasanah tetap nekad untuk menjaga diri sebaiknya. Mungkin bukan layak baginya untuk mendapat jodoh seorang hafiz, tetapi mungkin lebih baik dia mengharapkan dipertemukan dengan insan yang masih mampu menjadi ketua keluarga yang boleh mengimamkan solatnya kelak. Mengharapkan jodohnya itu adalah orang yang dapat mengubahnya menjadi seorang hamba Allah yang melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.



Perbualan di Skype tidak dapat dipanjangkan. 15 minit yang diperuntukkan dirasakan seperti 5 minit. Tidak sempat berbual panjang berkongsi suka manis seorang perantau.



“Umi, adik ada kelas 30 minit lagi. Adik nak bersiap dulu ni. Nanti sampaikan salam dekat semua okay. Kirim salam sayang”



“Okay. Adik balik Ramadhan tahun ni kan?”



“Insya-Allah umi. Doakan segalanya lancar di sini.”

…………………

Masa berlalu dibawa angin. Kesibukan membuat persiapan perkahwinan Husnina sepanjang bulan Ramadhan membuatkan kepulangan Hasanah ke tanah air lebih diperuntukkan bersama keluarga. Bukan niatnya ingin melupakan sahabat-sahabat yang telah banyak membentuk dirinya, tatapi akalnya perlu bijak membahagikan masa antara keperluan rohani dan keperluan jasmani. Cukuplah sekadar chatting di muka buku, sudah menenangkan hati Hasanah.



Ukhti, enti dah berpunya belum? – Fatimah



Belum tiba waktunya :) – Hasanah



Enti setia dengan dia lagi ke? Enti ada dapat khabar dari dia? Ana dengar tak lama lagi dia nak bertunang. Ana stalker facebook dia. Melalui komen dan post dekat wall dia, itulah yang ana faham. –Fatimah



Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga jodoh dia. Ana dah lama tak hubungi dia ukhti. Sebab ana dah buat persiapan awal-awal, Allah Maha Perancang kan. Mungkin ana memang suka dia, tapi Allah tahu sukanya bakal isterinya terhadap dia berlipat kali ganda hebat. –Hasanah



Insya-Allah. Enti jaga diri baik-baik okay. Selalu berdoa dijauhkan daripada bisikan nafsu :) –Fatimah



Terima kasih sahabat. –Hasanah



Sayunya hati hanya dipendamkan. Istighfar mula bermain di bibirnya. Air mata tidak dapat disekat untuk membasahi pipi. Patahnya hati apabila kesetiaan berakhir sebegitu rupa. Teringat kali pertama perkenalannya dengan hamba Allah yang sudah lama berada di carta hatinya. Hasanah akur dengan kesetiaannya. Barulah dia sedar, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Cinta itu bukanlah kejam di matanya kerana cinta itu yang telah mengubah arah hidupnya. Dia akur dengan aura cinta. Seorang perempuan yang mencintai seorang lelaki akan merasakan apa yang dikatakan oleh si kekasih adalah benar belaka. Hanya diangguk, tiada digeleng. Bersyukur juga Hasanah kerana Allah memberi peluang dia menyimpan perasaan kepada insan yang melabuhkan cinta kepada Allah.



“Enti tak perlu balik kepada cara hidup lama enti. Ana mohon, teruskanlah bersahabat dengan orang yang soleh.”



Kiriman SMS Akif lima tahun yang lalu masih segar di ingatan. Berdamping dengan orang soleh telah banyak mengubah dirinya sedikit demi sedikit. Kini berakhir sudah kesetiaan hati. Hasanah sudah lama menantikan saat ini kerana kesetiaan itu sedikit sebanyak memberi harapan palsu buat dirinya. Solat tahajjud kali ini diselubungi kesedihan. Kegembiraan kakaknya yang akan melansungkan perkahwinan esok hari sedikit sebanyak meremukkan lagi hatinya. Mungkin kerana terlintas juga di hatinya ingin memiliki kekasih halal pilihannya sendiri. Tetapi segalanya telah dilupakan apabila lelaki pilihannya akan menjadi milik wanita lain. Sudah pasrah.

…………………………

Jam menunjukkan pukul 10 malam. Majlis berjalan dengan lancar. Semakin bertambah ahli keluarga, semakin meriah rasanya. Sepanjang hari, tetamu sibuk menilik rumah banglo itu. Cantik indah dengan bertemakan White Garden. Mustahillah seorang pengurus butik perkahwinan membuat serba ringkas. Sering saja terlintas di fikiran Hasanah apabila ramai yang memuji. Hasanah juga tidak kurang sibuk. Sibuk ditemuduga, bila mahu melansungkan perkahwinan. Tidak kurang juga ada yang menawarkan khidmat pencarian jodoh. Semuanya dianggap lawak jenaka sahaja. Tidak terlintas lagi di fikirannya untuk ke arah membina masjid. Hatinya baru terubat luka, dibiarkan dahulu untuk pulih sepenuhnya.



“Mampu tak aku dapat suami yang soleh?”



“Allah izinkan tak aku dapat suami yang memahami aku?”



Lamunan dimatikan. Sekotak hadiah dihulurkan kepada Hasanah.



“Hadiah ni ada yang bagi untuk adik tadi.”



Abah berlalu pergi, kepenatan terpancar di wajah abahnya.



“Thanks dad! Selamat malam,” ceria suaranya.



“Orang lain bina masjid, orang lain dapat hadiah.”



Sempat lagi mengomel sendiri sebelum masuk ke bilik. Hadiah diletakkan di sisi katil, masih ada urusan yang belum diselesaikan. Setelah berwuduk, bacaan al-Mulk dimulakan. Sudah menjadi runtinnya sejak mendapat ilham daripada Allah. Bacaan ini diharap sedikit sebanyak dapat mebantunya menghadapi seksaan di akhirat kelak. Nauzubillah, hikmah pembacaan al-Mulk terlalu besar baginya. Badan dibetulkan menghadap ke arah kanan. Sunnah Rasulullah sedikit sebanyak mengingatkannya kepada Rasul terakhir utusan Allah. Hadiah. Matanya memerhati lagi, tidak sempat dilelapkan. Sekeping kad disertakan.



Assalamualaikum doktor,
Terimalah hadiah ini seadanya.
Selamat mencari kemanisan Islam,
Saya tunggu awak habis belajar.
Semoga Allah menjaga awak untuk saya (:

……………………….

Tarikh 27 Jun menjadi pilihan pasangan termuda dalam keluarga Encik Anwar ini. Anak bongsu perempuannya memilih untuk menamatkan zaman bujang seawal usia 24 tahun. Bukan kerana sudah tidak sabar, bukankah lebih baik mendirikan masjid lebih awal apabila tiba masanya adalah yang terbaik bagi menjaga hatinya yang sudah lama bersabar untuk menatap wajah bakal zaujnya.



Seperti yang diceritakan abah, pemilik hadiah adalah lelaki yang baik. Cukuplah bagi Hasanah menerima lamaran lelaki itu apabila mengetahui bahawa lelaki itu bertemu abah di masjid. Bertambah yakin lagi hati Hasanah apabila hadiahnya itu adalah tudung labuh. Hasanah beranggapan, tudung labuh itu menunjukkan lelaki itu mampu mengubah dirinya kelak. Semestinya ke arah kebaikan.



Perkahwinan Hasanah banyak menimbulkan kontroversi dalam kalangan keluarga besarnya. Tidak pernah terjadi dalam keturunan itu, berkahwin tanpa bertunang. Ditambah kekesalan lagi apabila Hasanah menerima lelaki itu tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Dibiarkan sahaja orang berkata-kata. Hasanah sudah menjangkakan keluarga besarnya yang mempunyai darah perniagaan itu akan mencemuh dirinya. Pilihan ayahnya pasti yang terbaik buatnya. Mustahil ayahnya mencari yang tidak sekufu buatnya.



“Kenapa budak tu tak siasat dulu latar belakang laki tu. Nanti dapat tukang sapu baru tahu. Buat malu keluarga je.”



“Hasanah tak takut ke laki tu gemuk ke, tak sesuai dengan Hasanah.”



Dirinya sendiri selama ini dianggap asing kerana tidak mengikut perkembangan berfashion. Namun jalan manakah yang benar. Berlandaskan Islam atau berlandaskan masa? Akur dengan tazkirah yang pernah dibaca. Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara. Persaudaraan kerana Islam lebih mahal nilainya berbanding persaudaraan kerana pertalian darah. Keluarga kandung boleh sahaja bergaduh kerana gilakan harta, tetapi orang mukmin tetap menghormati sesama mereka dalam pembahagian harta.
….

Telah sah sudah Nurul Hasanah binti Hassan menjadi bidadari dunia Abdul Hakim bin Razman dengan sekali lafaz. Hasanah melihat sekilas wajah Hakim ketika sesi pembatalan air sembahyang. Perasaan malu masih menebal. Sejak awal pagi lagi, sesuatu bermain di fikiran Hasanah. Wajah ibu mertuanya dan kakak iparnya seperti pernah dilihat. Pandangan sekilas wajah suaminya juga membuatkan Hasanah panik.



Akhirnya, saat yang dinantikan Hasanah untuk memakai blaus pengantin menjadi kenyataan. Cantik mempesonakan. Tetamu yang hadir seakan-akan tidak percaya Hasanah tampil secomel bidadari. Mungkin kerana sikap Hasanah yang sangat bersederhana selama ini, tidak berminat untuk make up dan berpakaian secantik itu walaupun berkerjaya. Hari ini Hasanah tampil dengan kelainan untuk menjaga hati kekasih halalnya.



“Akif”



Hasanah sentap melihat wajah Akif di majlis itu. Agak kehairanan kerana majlis itu hanyalah untuk ahli keluarganya terdekat kedua belah pihak sahaja. Matanya tajam memerhatikan pergerakan Akif. Menghampiri meja santapan keluarga pihak lelaki.



“Awak, jom teman saya jumpa keluarga saya.”



Tangan Hasanah dipimpin Hakim. Akur tanpa sebarang kata-kata.



“Hakim, mama nak balik dah,”



“Mama terus balik rumah? Kalau mama nak bercuti dekat sini Hakim boleh minta pekerja Hakim simpankan hotel untuk Mama,”



Terdiam Hasanah. Dia tidak pernah mengenali Hakim. Jadi, tidak dapat disampuk perbualan itu. Hanya senyuman yang terukir.



“Boleh juga. Bukan selalu datang sini.”


“Okay mama. Nanti Hakim dengan Nurul datang tengok Mama esok okay. Boleh Nurul?”



Mata Hakim bertentangan dengan mata Hasanah. Berdegup kencang jantung insan yang baru bergelar isteri itu.



“Boleh saja. Tapi Nurul kurang tahulah tempat yang best dekat sini. Tak sempat menjelajah negeri sendiri. Banyak merantau negeri orang.”



“Itu no hal lah, sayang. Pemandu pelancong kan ada.”



Senyum sahaja dibalasnya. Hasanah sudah mula tidak senang duduk. Masih kekok dengan kaum lelaki. Terasa masih asing. Kegelisahan itu membuatkan lupa akan bayangan Akif tadi.

……………………….

Kereta BMW milik Hakim meluncur laju menuju ke tempat penginapan ibunya. Hasanah hanya diam. Suasana dalam kereta hanya diriuhkan dengan radio.



“Kenapa awak terima saya?” Hakim memulakan perbualan.



Sepi. Tiada jawapan.



“Nurul. Awak di sini kah?”



“Eh, apa awak tanya?”



“Saya tanya kenapa awak sudi terima saya walaupun tak pernah kenal,”



“Kenapa awak bagi saya tudung labuh?”



“Kenapa awak tak jawab soalan saya dulu?”



“Kenapa awak nak tahu?”



“Sebab saya suami awak.”



Hasanah terdiam. Menarik nafas, tenang.



“Saya terima awak sebab pemberian awak. Kenapa awak hadiahkan saya?”



“Saya nak isteri pakai tudung labuh. Cantik macam awak.”



Dicuit pipi Hasanah tanpa meminta izin.



“Eh, senangnye dia.”



Dibalas cubitan di paha Hakim. Kemesraan mula diperoleh.



“Kenapa dengan tudung labuh yang saya hadiahkan dekat awak tu?”



“Saya yakin awak boleh ubah saya ke arah kebaikan.”



“Tapi saya ni bukan budak sekolah agama macam awak dulu.”



“Siapa cakap budak sekolah agama saja mampu bimbing orang lain. Eh, awak kenal saya dari mana erk?”



Telefon bimbit Hakim berbunyi. ‘Mama’.



“Sayang, angkatkan. Saya tengah drive.”



“Eh, tak biasa lah.”



“Mama awak jugak.”



Diikuti sahaja arahan Hakim. Walaupun Hakim banyak mengarahnya tetapi dianggap sahaja sebagai senda gurau.



“Assalamualaikum abang. Akif ni. Abang, mama cakap mama tunggu dekat restoran bawah hotel. Jangan lupa bawak kakak ipar Akif yang abang sayang sangat-sangat tu yeah. Jumpa nanti, okay.”



Talian diputuskan. Wajah Hasanah mula berubah. Apa lagi yang Allah aturkan untuk hamba-Mu ini Ya Allah.



“Nurul, kenapa?”



“Oh, Akif call bukan mama. Dia cakap mama tunggu dekat restoran bawah hotel.”



“Dah agak dah,”



“Apa yang dah agak?”



“Akif yang telefon. Kalau dia cakap memang tak ada noktah. Lansung tak bagi peluang dekat orang lain. No wonder lah awak tergamam.”



Hakim ketawa kecil. Hasanah makin terkesima.



“Akif tu siapa?”



“Orang yang kenalkan awak pada saya,”

…………………………..

“Kenapa mesti kau buat aku camni?”



“Buat apa?”



“Kau jangan pura-pura tak tahulah. Kau memang nak hancurkan hidup aku kan?”



“Weh, aku tak bermaksud apa-apa pun. Hakim tu…”



“Hakim apa? Kau kalau tak nak dekat aku pun janganlah sampai jual aku dekat kaum kerabat kau.”



“Hasanah, tak ada niat pun. Sebenarnya Hakim tertarik dengan kau waktu dia nampak kau dekat sekolah waktu ambil result SPM lagi.”



Hasanah berlalu pergi ke arah meja utama restoran, meninggalkan bilik air di belakang dapur restoran.



“Hasanah, Allah aturkan segalanya cantik. Mungkin dah tiba masa awak gunakan cinta terhadap manusia mendekati cinta kepada Allah pula.”



Berhenti seketika. Menarik nafas. Tidak sanggup kelihatan sayu di hadapan ahli keluarga yang lain.

…………………….

Tempoh seminggu bercuti telah tamat. Hasanah terpaksa kembali bekerja. Seminggu bersama Hakim sepenuh masa seperti masih belum habis taaruf. Hati Hasanah mula terbuka kepada Hakim. Pasangannya itu sangat pandai membuka pintu hatinya. Mungkin kerana sudah halal, terasa lebih bersemangat menjalin kasih.



“Sayang, terima kasih.”



“Erm?”



“Sebab awak selalu ajak saya Qiam. Waktu bujang dulu, saya malas tahu nak Qiam.”



“Kenapa malas?”



“Balik lewat malam lah sayang. Banyak kerja dekat pejabat.Nanti tak cukup rehat.”



“Aik? Alasan.”



Hasanah sudah mengerti sekarang apa yang dikatakan oleh Akif. Bimbinglah orang untuk mencintai Allah. Tiada salahnya dikorbankan cinta, asalkan ikhlas kerana Allah. Kasih pada manusia hanya sementara, tetapi kasih pada Allah akan kekal abadi. Berkorban di jalan Allah pasti ada baiknya. Sesungguhnya Allah Maha Perancang.



“Nurul pun nak cakap terima kasih dekat abang. Sebab sekarang bila Nurul Qiam dah ada yang teman. Biasanya suruh Allah sampaikan salam rindu dekat bakal suami Nurul. Sekarang dah ada depan mata.”



“Patutlah abang rindu Nurul sepanjang masa.”

………………..

Pagi itu Hakim menghantar Hasanah ke hospital. Hari pertama menjejakkan langkah ke tempat kerja setelah seminggu bercuti membuatkan Hasanah sedikit berat hati. Tetapi masih ramai pesakit yang memerlukan dia. Rindu pada suasana hospital, membuatkan Hasanah bergegas melangkah masuk. Terlupa untuknya meminta nombor telefon bimbit suaminya itu. Manakan tidak, selama ini hanya berkepit. Tidak pernah berpisah jadi tiada keperluan meminta nombor telefon. Buntu Hasanah, bagaimana cara untuk menghubungi Hakim untuk menjemputnya. Buntu.



Abang tunggu Nurul dekat luar.



Pengirim, “weird”.



Hasanah terduduk sebentar. Terasa lemah. Siapa sangka mesej tazkirah yang tidak putus-putus dihantar oleh orang yang tidak dikenalinya selama ini telah menjadi suaminya. Siapa lagi yang akan memanggilnya dengan gelaran Nurul melainkan Hakim. Pernah juga Hasanah bertanya kepada insan yang dipanggil weird itu siapakah gerangan empunya badan. Tetapi mesejnya tidak terbalas.



Menuju ke kereta milik suaminya. Dihulurkan tangan untuk bersalam dengan Hakim. Kali ini senyuman tidak terukir sejelas biasa.



“Kenapa?”



“Abang yang hantar mesej tazkirah dekat Nurul selama ni?”



Hakim hanya mengangguk.



“Kenapa tak pernah cakap siapa abang dekat Nurul?”



“Sebab abang tak nak kacau Nurul. Nurul kan budak baik.”



“Terima kasih abang sebab jaga Nurul dari dulu.”



Hasanah rasa sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang sangat menyayanginya. Dirinya terasa dihargai. Perancangan Allah penuh dengan rahsia. Allah pisahkan Hasanah dengan Akif kerana Allah tahu Hakim lebih memerlukan dia. Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya tidak pernah putus. Cuma manusia yang tidak pandai menghargai. Kebanyakan manusia tidak pernah bersyukur dengan kurniaan Allah. Yang dilihat ialah apa yang dia mahu, harus diperoleh! Pengalaman hidup Hasanah sangat manis setelah diduga oleh Allah. Dugaan itu adalah tanda kasih Allah pada hamba-Nya.




SYUKRAN FOR READING

Redha kalian,redhaNya.




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Syurga di bawah telapak kaki ibu.
Kasih ayah tidak berpenghujung.


Ya. Bicara hanya mengekspresif rasa, hakikatnya jasa dan bakti mereka lebih indah lagi dari itu.

*****************************************************************

Pertengahan bulan, dalam situasi kewangan yang kurang stabil, ayah masih mampu mengukir senyuman setiap kali pulang dari kerja. Adik-beradikku yang lain semuanya berada di sekolah asrama,sementelahan hanya aku sahaja yang tinggal di rumah.

Sejak dua tiga malam yang lepas, telefon sudah beberapa kali berdering. Abang dan kakak menelefon, duit sudah habis katanya. Ayah sabar menyelidik, ke mana duit itu dibelanjakan, untuk apa, perlukan berapa dan akhirnya dengan tenangnya membalas, “Takpe, insyaAllah nanti ayah usahakan untuk bank-in. Jangan risau, yang penting belajar betul-betul ye”. Aku mendengar jawapan yang sama pada setiap penghujung perbualan. Hakikatnya, ayah tak pernah menidakkan permintaan anak-anak, meskipun dirinya serba kekurangan.

*****************************************************************

Kakakku menelefon, dia terpilih mewakili negeri dalam pertandingan tilawah Al Quran. Ayah meraikan penglibatan kakak, sokongan padu diberikan. Sejumlah wang dikirimkan, sebab kakak akan berangkat ke luar negeri. Ibu pun bergembira sama, siap berjaga malam untuk menyiapkan sepasang baju kurung khas untuk kakak.

Ayah berikan semuanya untuk keperluan kakak. Sedangkan di rumah,bekalan makanan habis, bekalan gas memasak habis. Hampir semuanya habis. Ibu hampir menangis bila aku yang kecil mengadu lapar. Ibu berusaha kumpulkan duit syiling yang bersisa di rumah, belikan mi segera untuk aku. Masakkan untuk aku dalam rice cooker, sebab gas memasak dah habis. Dan siap memberikan aku bahagiannya dari mi segera itu.

Malam itu, ayah masih tersenyum ketika balik dari kerja, tapi aku tahu ayah belum jamah apa-apa lagi sepanjang hari. Ayah menawarkan diri untuk goreng ketulan belacan yang tersisa dalam peti sejuk, dan kami makan malam dengan nasi berlaukkan belacan goreng. Dan ayah pula yang menghulurkan bahagiannya kepadaku.

Bagi aku, tiada yang lebih sedap dari lauk malam itu.

*****************************************************************
                    
Dalam perjalanan ke lapangan terbang, aku, ayah dan pak cik menghantar kakak untuk balik ke kampus. Ayah sekadar mengangguk bila kakak meminta untuk balik awal ke kampus walaupun ketika itu cuti raya,banyak assignment katanya.

Ayah dan pak cik berbual panjang, sambil aku dan kakak terlelap di tempat duduk belakang. Kehendak Allah, aku terjaga ketika mereka masih berbual. Sambil buat-buat lelap aku mendengar.

“Sekarang ni semua anak-anak dah sekolah jauh. Duduk berdua je la kau laki bini?”

Ayah senyum.

”Macam tu jugak la. Honeymoon kat rumah tu.”

Mereka gelak. Aku pun sembunyi-sembunyi senyum.

“Semua duduk jauh-jauh study. Tak susah ke?”

Aku tersentak. Betul, ayah tak rasa susah ke bertahan dengan kewangan yang sekadar cukup-cukup makan untuk membiayai kami semua sejauh ini?

Dan jawapan panjang lebar buat aku sebak.

“Apa nak susah. Aku buat ni semua bukan untuk diri aku, tapi untuk anak-anak. Yang berjayanya nanti anak-anak. Yang merasa hasilnya nanti anak-anak jugak. Semua untuk masa depan anak-anak. Kita ni takpe, dah merasa hidup. Kadang-kadang risau jugak, anak-anak besar nanti semuanya ada hidup sendiri, kita ni entah macam mana.”

Dan aku tahu sebenarnya ayah amat risaukan masa depan kami, lebih lagi dari risaukan masa tua diri sendiri dan juga ibu.

*****************************************************************

Ayah dan ibu boleh jadi jutawan sekiranya tidak berbelanja untuk anak-anak. Tapi mereka rela memilih untuk hidup serba kekurangan dengan tidak meminggirkan keperluan dan kehendak kami.

Ayah dan ibu mungkin bergelar haji dan hajjah sekarang, sekiranya tidak mengetepikan kewangan diri untuk kesempurnaan pendidikan kami anak-anak.

Ayah dan ibu mungkin tidak setua umur mereka sekarang, sekiranya tidak bertungkus lumus memastikan anak-anak tersenyum bahagia. Meskipun mereka sendiri yang tidak lena tidur malam kerana risaukan anak-anak.

Tapi aku berharap Allah menjadikan ayah dan ibu jutawan dengan saham akhirat, atas setiap titis peluh dan air mata mereka untuk kami anak-anak.

Aku berharap pahala untuk setiap langkah ayah dan ibu untuk memastikan kami anak-anak dalam keadaan selamat dan selesa setimpal dengan langkah mereka yang terpilih menuju rumah Allah, menjadi tetamu Allah.

Aku sungguh-sungguh berharap agar kedut-kedut usia pada wajah mereka hilang berganti seri wajah seorang penghuni syurga, nanti, hinggakan segala penat dan lelah mereka terasa indah dengan penghargaan dari Allah.

Kerana aku tahu, perhitungan Allah Maha Hebat, dan perbendaharaannya Maha Luas, untuk mengganjarkan ibu dan ayah setimpalnya, malah lebih lagi. Tidak seperti aku yang serba kekurangan, hidup masih bergantung rezeki padaNya hingga ke akhir hayat.

Allah, redhakan kami, pertemukan kami nanti. Untuk terus menyambung ukhuwah dan kasih, berbumbungkan langit Jannah. KeranaMu.

Tag : Dakwat.org


SYUKRAN FOR READING

Siapalah Aku jika dibanding dengan mereka :(



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




siapalah aku jika hendak dibandingkan dengan mereka?



di saat diri sedang bersungguh-sungguh dalam mencari redha Ilahi,
tatkala itulah tuhan datang menguji,
namun hati ini sentiasa pasti bahawa ada sesuatu yang ingin tuhan aku kenal pasti,
aku cuba memandang setiap ujian yang datang itu sebagai sesuatu yang positif kerana aku dalam proses memupuk hati,
bukan aku seorang yang sedang diuji didunia ini kerana aku yakin masalah yang aku hadapi hanyalah sebesar biji sawi,

apalah sangat ujian yang aku hadapi jika hendak dibandingkan dengan ujian yang dilalui oleh para muslimin dan muslimat di sana,
mereka bukan setakat diuji dengan kehilangan harta, makanan, tetapi nyawa,
malulah aku pada diri sendiri untuk berputus asa disaat umat islam sedang memerlukan kekuatan sesama kita,
malulah aku untuk terus hidup dalam dunia sendiri akibat sakit yang aku hadapi itu kononya boleh diubat dengan begitu rupa,
ayuh aku harus bangkit dan jangan sesekali menyerah pada syaitan durjana,
aku harus ingat tuhan tidak menguji aku seorang sahaja,
orang-orang disekeliling aku juga diuji, tetapi mengapa mereka masih lagi mampu tertawa,
sedangkan aku masih lagi dibawah takuk yang sama leka dengan bisikan yang membinasa,
sapalah aku untuk mempersoalkan itu ini sebegitu rupa,
sedangkan bukan aku seorang sahaja yang pernah terluka, sedang diluka dan terluka,
lalu sampai bila aku harus hidup dengan lagak gaya yang sama?

aku sering mengharapkan orang untuk berubah,
namun sapalah aku untuk merubah,
sedangkan aku sendiri gagal untuk berhijrah,
sudah banyak yang aku lihat didunia ini lalu inilah masanya untuk aku membuka mata bahawa aku sendiri yang harus memulakan langkah,
bukan mereka tetapi akulah punca kepada segala masalah kerana aku yang menjadikan masalah yang sebesar zahrah itu seperti sebesar gajah,

aku adalah raja kepada diri ku,
masalah hanyalah hamba yang cuba menguji cara pemerintahan hatiku,
buruk cara aku memandang hamba itu maka buruklah akibat yang akan bertubi-tubi menimpaku,
baik aku memandang hamba itu maka baiklah akibat yang akan menyusuri langkah-langkah ku,
sesunggunya kepada Allah tempat aku menyerahkah segala-gala hal menerjah,
pada engkaulah ya Alllah tempat aku mengadu domba masalah,
ampunilah aku sekiranya disaat aku ditimpa musibah aku telah mendatangkan fitnah,
fitnah yang membuatkan orang-orang disekelilingku keluh kesah,
walhal aku tidak berniat untuk membuat mereka resah,
tetapi itulah cara aku untuk meluahkan masalah,
namun sekarang aku telah pasrah,
bahawa tiada tempat lain untuk meluah melainkan padamu ya Allah,

pimpinlah hati-hati yang ikhlas berjuang dijalan mu kelandasan yang diredhai mu ya Allah,
biarlah apa manusia ingin berbicara kerana sekarang aku hanya ingin mencari redhanya,
aku sudah penat dengan permainan hati yang sering kali membuatkan aku alpa,
alpa dengan tangungjawab ku yang lebih besar meritnya,
iaitu mencari redha yang maha Esa,
kini aku berusaha menepis segala prasangka,
biar orang kata aku tiada mata,
tetapi aku hanya mahu menjaga hal yang lebih utama,
sapalah aku untuk selalu terasa,
disaat orang lain juga melalui perasaan yang sama,
kerana aku engkau dan mereka adalah sama,
tetapi apa yang membezakan kita adalah cara aku engkau mereka melihat ’benda’

Just be yourself dear :')


SYUKRAN FOR READING

Akan Melangkah




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Conversation with ...................

"Bila pulang kk?"
"Eh?Ingatkan kau di UiTM sudah"
"Bagus lagi sambung form6 haritu"
"Kau sambung  di mana sudah? "

Sering.... sering... sering... dikata, sering...sering.. sering ditanya. Apa ingin ku jawab? ku hanya jawab Inshaa Allah, akan masuk pada bulan disember. 

Memang ada Istilah 'menyesal' pada diri. Tapi, andai kita sudah melangkah, maka teruslah melangkah. Rezeki ada dimana-mana. Mungkin inilah takdir Allah untuk diri. PRAY PRAY PRAY. USAHA USAHA USAHA. Itu yang penting :') 
Dimana saja kita belajar, dimana saja kita menimba Ilmu. Hargailah Ilmu itu, biar niat untuk menuntut ilmu, bukan mahu dilihat dan dibangga oleh orang :') Niat biar kerana Allah. Inshaa Allah berjaya ^_^ Bittaufiq wannajah wa man jadda wajada! 

Doakan Kejayaan buat diri ana :')



SYUKRAN FOR READING

Ini Kisah Kita




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Ini kisah kita.

Mana anda takut? Harimau! atau hari-hari mau!. Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yang segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi... jeng!jeng!jeng! ... bunyi....aauuummmmm !!!!! Bunyi harimau yang kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni.
Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi. Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata ya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi.
Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi. Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.
Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yang kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut. Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh.... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni.... habislah jadi mangsa buaya .
Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba....terdengar satu bunyi....uuuuuuuuuu ... bunyi lebah bawa madu. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yang sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni." Kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yang sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yang menantinya di bawah.
Kalau semua nak tahu , si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah malaikat Mungkar Dan Nakir yang menanti kita di alam kubur nanti. Tali yang tempat si hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.
Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu. Madu...,madu yang jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya,dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah SWT. Waktu susah baru la nak ingat Allah SWT.
Astaghfirullahal' azim :')

p/s : Jom ambik Ibrah daripada kisah ini. Sudahkah kita mensyukuri nikmat Allah selama ini? Tutup dada tanya Iman ^_^
salam perkongsian.






SYUKRAN FOR READING