Sunday, 1 September 2013

Redha kalian,redhaNya.




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Syurga di bawah telapak kaki ibu.
Kasih ayah tidak berpenghujung.


Ya. Bicara hanya mengekspresif rasa, hakikatnya jasa dan bakti mereka lebih indah lagi dari itu.

*****************************************************************

Pertengahan bulan, dalam situasi kewangan yang kurang stabil, ayah masih mampu mengukir senyuman setiap kali pulang dari kerja. Adik-beradikku yang lain semuanya berada di sekolah asrama,sementelahan hanya aku sahaja yang tinggal di rumah.

Sejak dua tiga malam yang lepas, telefon sudah beberapa kali berdering. Abang dan kakak menelefon, duit sudah habis katanya. Ayah sabar menyelidik, ke mana duit itu dibelanjakan, untuk apa, perlukan berapa dan akhirnya dengan tenangnya membalas, “Takpe, insyaAllah nanti ayah usahakan untuk bank-in. Jangan risau, yang penting belajar betul-betul ye”. Aku mendengar jawapan yang sama pada setiap penghujung perbualan. Hakikatnya, ayah tak pernah menidakkan permintaan anak-anak, meskipun dirinya serba kekurangan.

*****************************************************************

Kakakku menelefon, dia terpilih mewakili negeri dalam pertandingan tilawah Al Quran. Ayah meraikan penglibatan kakak, sokongan padu diberikan. Sejumlah wang dikirimkan, sebab kakak akan berangkat ke luar negeri. Ibu pun bergembira sama, siap berjaga malam untuk menyiapkan sepasang baju kurung khas untuk kakak.

Ayah berikan semuanya untuk keperluan kakak. Sedangkan di rumah,bekalan makanan habis, bekalan gas memasak habis. Hampir semuanya habis. Ibu hampir menangis bila aku yang kecil mengadu lapar. Ibu berusaha kumpulkan duit syiling yang bersisa di rumah, belikan mi segera untuk aku. Masakkan untuk aku dalam rice cooker, sebab gas memasak dah habis. Dan siap memberikan aku bahagiannya dari mi segera itu.

Malam itu, ayah masih tersenyum ketika balik dari kerja, tapi aku tahu ayah belum jamah apa-apa lagi sepanjang hari. Ayah menawarkan diri untuk goreng ketulan belacan yang tersisa dalam peti sejuk, dan kami makan malam dengan nasi berlaukkan belacan goreng. Dan ayah pula yang menghulurkan bahagiannya kepadaku.

Bagi aku, tiada yang lebih sedap dari lauk malam itu.

*****************************************************************
                    
Dalam perjalanan ke lapangan terbang, aku, ayah dan pak cik menghantar kakak untuk balik ke kampus. Ayah sekadar mengangguk bila kakak meminta untuk balik awal ke kampus walaupun ketika itu cuti raya,banyak assignment katanya.

Ayah dan pak cik berbual panjang, sambil aku dan kakak terlelap di tempat duduk belakang. Kehendak Allah, aku terjaga ketika mereka masih berbual. Sambil buat-buat lelap aku mendengar.

“Sekarang ni semua anak-anak dah sekolah jauh. Duduk berdua je la kau laki bini?”

Ayah senyum.

”Macam tu jugak la. Honeymoon kat rumah tu.”

Mereka gelak. Aku pun sembunyi-sembunyi senyum.

“Semua duduk jauh-jauh study. Tak susah ke?”

Aku tersentak. Betul, ayah tak rasa susah ke bertahan dengan kewangan yang sekadar cukup-cukup makan untuk membiayai kami semua sejauh ini?

Dan jawapan panjang lebar buat aku sebak.

“Apa nak susah. Aku buat ni semua bukan untuk diri aku, tapi untuk anak-anak. Yang berjayanya nanti anak-anak. Yang merasa hasilnya nanti anak-anak jugak. Semua untuk masa depan anak-anak. Kita ni takpe, dah merasa hidup. Kadang-kadang risau jugak, anak-anak besar nanti semuanya ada hidup sendiri, kita ni entah macam mana.”

Dan aku tahu sebenarnya ayah amat risaukan masa depan kami, lebih lagi dari risaukan masa tua diri sendiri dan juga ibu.

*****************************************************************

Ayah dan ibu boleh jadi jutawan sekiranya tidak berbelanja untuk anak-anak. Tapi mereka rela memilih untuk hidup serba kekurangan dengan tidak meminggirkan keperluan dan kehendak kami.

Ayah dan ibu mungkin bergelar haji dan hajjah sekarang, sekiranya tidak mengetepikan kewangan diri untuk kesempurnaan pendidikan kami anak-anak.

Ayah dan ibu mungkin tidak setua umur mereka sekarang, sekiranya tidak bertungkus lumus memastikan anak-anak tersenyum bahagia. Meskipun mereka sendiri yang tidak lena tidur malam kerana risaukan anak-anak.

Tapi aku berharap Allah menjadikan ayah dan ibu jutawan dengan saham akhirat, atas setiap titis peluh dan air mata mereka untuk kami anak-anak.

Aku berharap pahala untuk setiap langkah ayah dan ibu untuk memastikan kami anak-anak dalam keadaan selamat dan selesa setimpal dengan langkah mereka yang terpilih menuju rumah Allah, menjadi tetamu Allah.

Aku sungguh-sungguh berharap agar kedut-kedut usia pada wajah mereka hilang berganti seri wajah seorang penghuni syurga, nanti, hinggakan segala penat dan lelah mereka terasa indah dengan penghargaan dari Allah.

Kerana aku tahu, perhitungan Allah Maha Hebat, dan perbendaharaannya Maha Luas, untuk mengganjarkan ibu dan ayah setimpalnya, malah lebih lagi. Tidak seperti aku yang serba kekurangan, hidup masih bergantung rezeki padaNya hingga ke akhir hayat.

Allah, redhakan kami, pertemukan kami nanti. Untuk terus menyambung ukhuwah dan kasih, berbumbungkan langit Jannah. KeranaMu.

Tag : Dakwat.org


SYUKRAN FOR READING

No comments: